Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah premis yang disyaki menjadi markas ajaran Syiah warga asing di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya pada Khamis.

Operasi di bawah Tindakan Khas Penguatkuasaan Bersepadu Bersama Agensi pada pukul 9.34 malam itu dibuat setelah menerima maklumat orang awam.

Menurut Pengarah JAIS, YBhg. Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, sebanyak 226 orang individu merupakan warga asing dari Pakistan, India dan Bangladesh berada di lokasi premis tersebut.

Hasil serbuan mendapati mereka yang terbabit yang terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak.

Kata beliau, tindakan tersebut merujuk Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c) berkaitan dengan menghina pihak berkuasa agama, Seksyen 13 berkaitan dengan penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa.

Jelas beliau lagi, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 16 berkaitan dengan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak terhadap aduan yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

“Operasi bersepadu ini melibatkan kerjasama enam agensi penguat kuasa, iaitu JAIS, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kekuatan keseluruhan sebanyak 120 anggota,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

“Susulan pemeriksaan tersebut, MBSJ mengeluarkan notis pemberitahuan di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) berhubung dengan beberapa ketidakpatuhan berkaitan dengan pendirian dan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau, pemilik premis diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan.

“JAIS akan bertindak tegas dan berterusan dalam usaha membanteras dan mengekang ajaran Syiah di Selangor,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan ajaran Syiah agar menyalurkannya kepada pihak JAIS menerusi talian telefon 1800-88-2424 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan ajaran Syiah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi