Diterbitkan pada 28 Jun 2026, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong penuh kenyataan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang menuntut pihak penerbit memelihara kesucian Islam dengan memastikan setiap buku agama disemak oleh pihak berautoriti  bagi menjamin kesahihan kandungan, susulan isu kontroversi membabitkan kesilapan dalam sebuah buku keagamaan yang ditulis oleh seorang pempengaruh, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan JAKIM hari ini, setiap penulis perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas karya yang dihasilkan.

“Semua penerbit yang menerbitkan buku kandungan agama, secara dalaman perlu bertanggungjawab melantik pasukan pakar dan kakitangan berkelulusan pengajian Islam untuk membuat semakan kepada semua kandungan agama sebelum diterbitkan terlebih dahulu,” jelas kenyataan JAKIM.

Bagi mengelakkan isu serupa berulang, JAKIM turut mengesyorkan kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) agar sentiasa memberikan peringatan kepada semua penerbit agar lebih cermat serta berhati-hati apabila menerbitkan kandungan buku yang melibatkan teks al-Quran dan hadis.

Sebagai langkah proaktif, JAKIM bersama-sama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bersedia untuk memberikan panduan dan bimbingan kepada semua penerbit buku kandungan agama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi