Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, Global Ehsan Relief (GER) bakal menganjurkan makan malam amal “Dari Kasih ke Ehsan” di Dewan Tun Rahah, Jalan Bukit Bintang pada 14 Ogos 2026 bagi mengumpulkan dana projek kemanusiaan dalam negara.
Program yang menghimpunkan para penyumbang, rakan strategik, peminat dan masyarakat yang menyokong usaha itu menyasarkan kutipan dana sebanyak RM500,000 bagi menampung pembiayaan projek Ehsan Lokal, Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk dan Projek Umrah Anak Yatim.
Pengarahnya, Suffi Shukor berkata, sasaran minimum itu tersebut mampu dicapai melalui penjualan tiket tempat duduk dan meja, namun pihaknya mengharapkan jumlah kutipannya berupaya mencecah RM1.0 juta.
Menurut beliau, program tersebut membawa mesej perasaan kasih dan sifat prihatin harus diterjemahkan kepada bentuk tindakan yang mampu memberikan impak dan manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Penganjurannya merupakan satu seruan kepada masyarakat untuk menjadi sebahagian daripada usaha menyebarkan kebaikan, dan memperkukuh semangat saling membantu.
“Hal ini yang dikatakan sebagai manifestasi sebenar dari kasih ke ihsan,” ujar beliau dalam sidang media di pejabat GER pada Khamis.
Selain itu, pengisian makan malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nasyid Inteam, sesi perkongsian daripada duta GER Malaysia seperti Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Mohamad Amirul Amin (PU Amin), selain dikendalikan oleh pengacara selebriti, Ahmad Fedtri Yahya.
“Program ini bukan sekadar majlis makan malam amal, tetapi penganjurannya dirancang sebagai satu pengalaman yang membawa para hadirin menyelami kisah kemanusiaan melalui perkongsian inspirasi di lapangan sambil berhibur,” katanya.
Sementara itu, penjualan tiket tempat duduk dibuka kepada orang ramai menerusi laman sesawang www.darikasihkeehsan.com dengan harga bermula daripada RM175 bagi kategori individu.
Penjualan meja bagi syarikat korporat, agensi kerajaan dan rakan strategik pula ditawarkan dengan harga bermula daripada RM5,000 hingga RM25,000 dengan pelepasan cukai.
Untuk pertanyaan lebih lanjut dan urusan tempahan, orang ramai boleh menghubungi Penolong Ketua Media dan Komunikasi GER, Syafiq Azman (Syabab) menerusi e-mel [email protected] atau talian telefon 012-9033920.