Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan meneliti langkah penambahbaikan terhadap sistem pengurusan penggiliran haji bagi memastikan proses pemilihan jemaah lebih sistematik, adil dan memberikan keutamaan kepada mereka yang membuat simpanan serta pendaftaran lebih awal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Puan Marhamah Rosli berkata, usaha itu perlu dilaksanakan berikutan cabaran semasa yang menyaksikan jumlah pendaftaran haji ketika ini melebihi empat juta orang, sedangkan kuota haji Malaysia kekal sekitar 31 600 orang jemaah setiap tahun.

Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan tempoh menunggu giliran semakin panjang, khususnya bagi individu yang baru mendaftar untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Langkah penambahbaikan ini dapat mengurangkan keperluan untuk membuat tawaran gantian berulang sekiranya terdapat bakal haji yang memohon penangguhan atas alasan kewangan,” ujarnya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat, YB Tuan Onn Abu Bakar dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam perkembangan yang berkaitan, YB Puan Marhamah memaklumkan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) akan melakukan penyesuaian segera susulan keputusan Kerajaan Arab Saudi yang memperketat syarat kesihatan dan keselamatan jemaah haji.

Langkah itu katanya penting bagi memastikan tahap perlindungan kebajikan dan kesihatan jemaah Malaysia sentiasa berada pada tahap yang terbaik sepanjang berada di tanah suci.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa TH berjaya mengekalkan kos haji bagi musim 1447 Hijrah pada kadar RM33,300 seorang untuk tahun ketiga berturut-turut meskipun berhadapan dengan peningkatan kos operasi dan tambang penerbangan.

Pada masa yang sama, TH turut memperluas bantuan kewangan haji secara bersasar menerusi peruntukan sebanyak RM210 juta bagi membantu bakal jemaah yang memerlukan.

“Kerajaan dan TH terus komited meningkatkan mutu perkhidmatan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju dunia dalam pengurusan dan perkhidmatan haji,” tegasnya.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi