Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) menjadi pusat rujukan pendidikan tahfiz yang memainkan peranan pada peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Ahli Lembaga Pengarah UPSI, YBrs. Profesor Dr. Azmi Mohamad berkata, aspirasi itu selaras dengan inisiatif menaik taraf Jabatan Pendidikan Islam (JPI) kepada Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) secara rasmi pada tahun ini.

Beliau berkata, i-Furqan tidak seharusnya berfungsi sebagai sebuah jabatan akademik biasa, sebaliknya perlu menyumbang secara proaktif dalam pembangunan pendidikan Islam dan institusi tahfiz negara.

“Kita mahu melihat i-Furqan membantu pemerkasaan dasar pendidikan tahfiz negara, serta menjadi pusat rujukan yang dicontohi bukan sahaja di Malaysia, malah di Nusantara dan luar negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Syarahan Budiman Profesor Dr. Mohamad Rozaimi Ramle di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI pada Rabu.

Menurut beliau, UPSI mendokumentasikan setiap fasa pembangunan i-Furqan termasuk pembinaan bangunan baharu sebagai sebahagian daripada usaha membina legasi institusi tersebut untuk generasi akan datang.

Dalam pada itu, YBrs. Profesor Dr. Azmi turut menyifatkan pelantikan Profesor Dr. Mohamad Rozaimi Ramle sebagai Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin membuktikan keupayaan dan kecemerlangan bakat yang dilahirkan oleh UPSI.

“Pencapaian ini merupakan sebuah pengiktirafan besar kepada UPSI apabila bakat yang kita miliki diberikan kepercayaan untuk memimpin sebuah institusi pendidikan tinggi,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam syarahan bertajuk “Ilmu Hadis dan Realiti Pascamodenisme: Menyuluh Kebenaran di Celah Kebanjiran Maklumat”, Profesor Dr. Mohamad Rozaimi menjelaskan bahawa ilmu hadis ialah warisan keilmuan Islam yang bernilai bagi memastikan kesahihan setiap riwayat yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.

Ujar beliau, era pascamodenisme membawa cabaran baharu kepada masyarakat dengan kecenderungan menolak naratif besar, menganggap kebenaran sebagai sesuatu yang relatif, serta menerima pelbagai pandangan tanpa penilaian berasaskan ilmu.

“Dalam dunia yang dipenuhi ledakan maklumat melalui Internet dan teknologi kecerdasan buatan, masyarakat berhadapan dengan kesukaran untuk membezakan maklumat yang sahih dengan yang palsu.

“Oleh itu, kefahaman ilmu hadis dan metodologi penilaian riwayat menjadi semakin penting,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi