Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Kontinjen Selangor dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Mahrajan al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-sekolah (MQNKSS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang melabuhkan tirainya di Glory Beach Resort, hari ini, manakala kontinjen Melaka pula mencuri tumpuan ramai apabila melakar sejarah tersendiri dengan mendominasi secara mutlak pentas pertandingan Nasyid.
Bagi kategori sekolah menengah, kumpulan Soutul Azim yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Melaka mempamerkan persembahan memukau untuk muncul sebagai Johan kebangsaan.
Kontinjen Melaka ini berjaya menewaskan pencabar terdekat, iaitu kumpulan Izdan dari Johor selaku Naib Johan dan Solihin Voices dari Perak menduduki tempat ketiga.

Rentak kecemerlangan tersebut turut diteruskan di peringkat sekolah rendah apabila kumpulan Sofwatul Ittihad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lesong Batu merangkul gelaran Johan bagi negeri Melaka.
Kehebatan kontinjen Melaka bagi acara Nasyid terus terserlah apabila kumpulan Soutul Azim membolot anugerah Solo Terbaik, Perkusi Terbaik, Lagu Kontemporari Terbaik, dan Lagu Tradisional Terbaik bagi peringkat sekolah menengah.
Sementara itu, kumpulan pelapis dari sekolah rendah pula mencipta rekod cemerlang dengan merangkul anugerah khas yang dipertandingkan, iaitu Solo Terbaik, Persembahan Terbaik, Perkusi Terbaik, Lagu Kontemporari Terbaik, serta Lagu Tradisional Terbaik.
Selain pertandingan Nasyid yang sentiasa menjadi tumpuan penonton, kemeriahan penganjuran MQNKSS pada edisi kali ini turut diserikan dengan penganjuran beberapa acara utama yang lain termasuklah Pertandingan Seni Khat, Hafazan dan Tilawah al-Quran bagi mencungkil bakat kemenjadian murid secara holistik berlandaskan syariat Islam.
Majlis penutupan penuh gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.

Bertepatan dengan tema “Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan”, beliau menegaskan bahawa reformasi pendidikan sebenar bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi melahirkan insan yang seimbang dari sudut ilmu, adab dan integriti.
“Imam Malik rahimahullah pernah berpesan, pelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Pesanan itu mengingatkan kita bahawa ilmu tanpa adab mampu melahirkan manusia yang bijak tetapi tidak berakhlak.
“Sebaliknya, ilmu yang dipimpin oleh adab akan melahirkan insan yang mampu memimpin masyarakat dengan hikmah dan kebijaksanaan,” titip beliau dalam ucapan perasmiannya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mengumumkan sumbangan kewangan tunai kepada semua pemenang bagi menghargai bakat dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh generasi muda dalam membawa budaya Islam dalam cara yang pelbagai dan interaktif.
Terdahulu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, YBrs. Tuan Haji Omar Salleh dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan mahrajan berkenaan sebagai wadah penting dalam mengoptimumkan potensi 542 orang peserta daripada 16 buah kontinjen negeri yang bertanding.
Penganjuran MQNKSS pada tahun ini terus menjadi penanda aras KPM dalam membina generasi pewaris yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas peperiksaan, malah memiliki sahsiah terpuji serta menjadikan khazanah al-Quran sebagai pedoman sepanjang hayat.