Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa setiap cabaran dan ujian yang dihadapi perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab, serta dijadikan pengajaran untuk memperbaik kelemahan dan memperkukuh tadbir urus demi kepentingan agama dan ummah.
Baginda bertitah, pendekatan tersebut penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat, selain memastikan institusi Islam terus berfungsi dengan berkesan melalui semangat perpaduan, kepercayaan dan kerjasama semua pihak.
“Dalam mendepani apa-apa jua situasi yang mencabar, jangan sesekali lari daripada tanggungjawab.
“Setiap ujian yang berlaku hendaklah dijadikan pengajaran dan hikmah untuk memperbaik kelemahan, memperkukuh tadbir urus, serta meningkatkan keyakinan masyarakat,” titah baginda sempena Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Simpang Empat, baru-baru ini.
Titah baginda, MAIPs akan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik sekiranya semua pihak bersatu hati, saling mempercayai, serta meletakkan kepentingan agama dan ummah mengatasi segala perkara lain.
Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif berterusan MAIPs yang menggabungkan aktiviti riadah, ziarah kebajikan dan penyampaian bantuan kepada golongan asnaf di seluruh Perlis.
Melalui program tersebut, MAIPs dapat mendekati masyarakat, di samping mengenal pasti keperluan semasa penerima bantuan.
Sempena program itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada tiga orang penerima asnaf terpilih, iaitu Rahman Mat @ Ahmad, 78, dari Kampung Permatang Kersik Tok Pulau.
Turut menerima bantuan ialah Zuakmam Zain, 48, dari Kampung Pauh Sanglang.
Seorang lagi penerima ialah Mohamad Ruadzi Saad, 64, dari Kampung Kepala Batas, Pauh.