Diterbitkan pada 5 November 2025, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jelutong – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menerima sumbangan Zakat Wakalah berjumlah RM6,753.66 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam majlis pelancaran program khas bertemakan “ANDA HERO ASNAF – Ayuh Berzakat Warga Bomba Selangor”, Khamis lalu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah JBPM Negeri Selangor, Yang Setia PKPjB Wan Md Razali Wan Ismail di Dewan Bakawali, Ibu Pejabat JBPM Negeri Selangor.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah JBPM Negeri Selangor menzahirkan penghargaan kepada LZS atas inisiatif menyalurkan zakat wakalah kepada warga bomba.

Beliau turut menekankan bahawa konsep wakalah amat bermakna kerana memberikan peluang kepada pembayar zakat untuk menyalurkan kembali sebahagian daripada zakat yang dibayar kepada asnaf dalam kalangan warga jabatan sendiri.

“Saya amat tertarik dengan konsep zakat wakalah ini kerana dapat dikembalikan kepada warga bomba semula.

“Melalui pelaksanaannya, pembayar zakat akan menerima kembali sebahagian daripada wang zakat yang telah dibayar untuk diagihkan sendiri kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.

“Maknanya, warga bomba yang membayar zakat, pulangannya juga kepada warga bomba yang lain dan inilah semangat saling membantu dan prihatin sesama kita,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru semua warga JBPM Negeri Selangor untuk menyokong penuh Pakej Khas Zakat Selangor: ANDA HERO ASNAF – Wira Prihatin, Wira Harapan, sebagai tanda komitmen bagi memperkukuh tanggungjawab sosial serta kebersamaan dalam kalangan warga bomba.

Lebih 200 orang pegawai JBPM Negeri Selangor hadir mendengar taklimat khas zakat oleh Lembaga Zakat Selangor.

Penyerahan simbolik sumbangan Zakat Wakalah Majikan telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Khaidzir Shahari kepada Pengarah JBPM Negeri Selangor sebagai tanda penghargaan atas komitmen warga bomba menunaikan zakat melalui LZS.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Tuan Haji Mohd Khaidzir Shahari, bersama-sama barisan pengurusan, pegawai serta kakitangan kedua-dua agensi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi