Diterbitkan pada 19 September 2025, 20:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelantikan 28 orang ilmuwan yang mempunyai kepakaran dalam bidang hadis bakal membantu pelaksanaan projek penerbitan terjemahan kitab Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) Jilid 1 hingga Jilid 4.

Projek kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu melibatkan enam orang pentashih dan 22 orang penterjemah agar proses penterjemahan karya tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

Antara ahli akademik yang terpilih dalam projek berkenaan termasuklah Profesor Dr. Faisal Ahmad Shah, Dr. Fadlan Mohd Othman, Dr. Zunaidah Mohd Marzuki, Profesor Madya Dr. Zawawi Ismail, Profesor Madya Dr. Harun Baharudin, Profesor Madya Dr. Taufik Ismail dan Dr. Azwira Abd Aziz.

Penyerahan watikah pelantikan kepada pentashih dan penterjemah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Pelancaran Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Majlis Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP petang tadi.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya berkata, projek penerbitan Ensiklopedia Hadis Nilai bakal menjadi rujukan autoritatif yang sahih, tersusun dan mudah diakses agar hadis terus menjadi panduan dan pegangan umat Islam.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Hadis merupakan sumber ilmu kedua selepas al-Quran, namun dalam era digital yang serba pantas, hadis sering dipetik tanpa konteks, disebarkan tanpa rujukan, bahkan dimanipulasi untuk agenda sempit,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa projek penerbitan seperti Ensiklopedia Hadis Nilai, Ensiklopedia Islam dan Ensiklopedia Ekonomi Islam merupakan sebahagian daripada inisiatif yang memenuhi tuntutan maqasid syariah, khususnya pemeliharaan agama (hifz al-din) dan pemeliharaan ilmu (hifz al-‘ilm).

Selain itu, beliau mengakui peranan penting penterjemah dan pentashih untuk memastikan setiap inti pati karya tersebut diterjemahkan dengan teliti, makna disampaikan dengan tepat dan nilai dipelihara dengan amanah.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa hasil kerja para penterjemah dan pentashih bakal menjadi “jambatan emas” yang menyampaikan mutiara hikmah Rasulullah SAW dalam bahasa yang indah, tepat dan mudah difahami.

Mengulas lanjut mengenai penerbitan buku agama dalam negara, beliau berkata, sekitar 2380 judul buku agama yang diterbitkan ketika ini daripada jumlah keseluruhan 181 000 judul buku, iaitu hanya 1.3 peratus berdasarkan data Perpustakaan Negara Malaysia.

Jelas beliau, meskipun ekosistem perbukuan negara dilihat semakin berkembang, namun kandungan yang berteraskan agama masih terlalu kecil nisbahnya.

“Projek Ensiklopedia Hadis Nilai dan ensiklopedia Islam lain bukan sekadar menambah bilangan penerbitannya, sebaliknya menutup jurang kualiti, memperkukuh bidang kritikal dan membina akal budi bangsa,” ujarnya lagi.

Beliau turut menambah bahawa pihaknya bakal mewajibkan semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara membeli dan memiliki ensiklopedia tersebut.

Sementara itu, Ensiklopedia Hadis Nilai merupakan karya terjemahan kitab Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam terbitan Dar al-Faruq, Jordan yang dikarang oleh tiga tokoh ilmuwan hadis, iaitu Dr. Humam Abdul Rahim Said, Dr. Ahmad Muhammad Barhum dan Dr. Muhammad Humam Milhem.

Karya ulung tersebut menghimpunkan 3788 hadis dalam empat jilid dengan pendekatan tematik yang merangkumi nilai keimanan, kemasyarakatan, akhlak,  politik, pentadbiran, ekonomi, keilmuan, kesihatan, alam sekitar, tahap emosi dan estetika.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif mendukung aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat MADANI menerusi penerapan 11 nilai yang terkandung dalam karya Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam.

Majlis penyerahan watikah tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Ahli Lembaga Pengelola DBP; Pengarah Jabatan; Ketua Bahagian; Ketua Editor serta pegawai kanan DBP dan agensi kerajaan.

Kredit Foto: Adib Zulkifli dan Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi