Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 21:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kejayaan pelaksanaan program pratahfiz yang kini menjadi sebahagian daripada budaya pendidikan awal Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) membuktikan komitmen berterusan kerajaanbagi memperkukuh modal insan negara sejak peringkat awal kanak-kanak.

Murid Tadika KEMAS menjayakan gimik pelancaran buku komik bertajuk Harga Sebuah Kejujuran terbitan SPRM kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bertempat di Dewan Seri Lestari, Putrajaya, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat yang dicetuskan sejak tiga tahun lalu itu kini menampakkan hasil apabila kanak-kanak bukan sahaja dididik untuk mengenal huruf dan angka, malah dibimbing dengan asas al-Quran, akhlak, serta jati diri yang kukuh.

Ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pendidik KEMAS Tahun 2026 bertemakan “55 Tahun Mencerdaskan Anak Bangsa” di Dewan Seri Lestari, Putrajaya, semalam, beliau menyifatkan kejayaan tersebut tidak mungkin dapat dicapai tanpa komitmen, kesabaran dan keikhlasan para pendidik KEMAS di seluruh negara.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid merakamkan penghargaan tertinggi kepada KEMAS yang telah menjadi titik permulaan pendidikan kepada lebih 8.4 juta orang kanak-kanak di Malaysia.

Barisan pendidik KEMAS yang diraikan dan menerima anugerah pada majlis sambutan Hari Pendidik KEMAS.

Jelas beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kekuatan sebenar KEMAS bukan sekadar terletak pada angka statistik, sebaliknya bertunjangkan pengorbanan barisan pendidiknya yang gigih membina keyakinan, membentuk sahsiah, serta menyemai cita-cita bakal pewaris masa depan negara.

Bagi memastikan institusi itu kekal relevan sebagai peneraju pendidikan awal negara, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid turut menggariskan tiga amanat utama yang perlu dihayati oleh seluruh warga pendidik KEMAS.

Antaranya termasuklah keperluan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan semasa, serta keberanian untuk mencetuskan idea dan pendekatan baharu dalam ekosistem pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan membudayakan kreativiti dan pembaharuan yang berterusan dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran.

Majlis sambutan yang penuh bermakna itu turut diserikan dengan acara penyerahan buku komik bertajuk Harga Sebuah Kejujuran terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di samping penyampaian Anugerah Utama Hari Pendidik KEMAS Tahun 2026 dan penganugerahan Tokoh Pendidik Sepanjang Zaman.

Mengakhiri ucapannya, YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi mendoakan agar warga pendidik KEMAS terus istiqamah menyalakan cahaya ilmu, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja berpendidikan dan berakhlak mulia, malah berjiwa Qurani demi memacu Malaysia kepada tahap yang lebih gemilang.

Kredit Foto: KKDW
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi