Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Solat bukan sekadar ibadah rutin yang dilaksanakan lima kali sehari, sebaliknya merupakan proses pembentukan jiwa yang menuntut penghayatan dan kesedaran mendalam,” kata penulis buku terkemuka, Hafizul Faiz.
Beliau berkata demikian ketika sesi bedah buku Solat: Sebuah Refleksi yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.
Menurut Hafizul Faiz, kebanyakan umat Islam menunaikan solat sekadar memenuhi kewajipan sehingga terlupa untuk memahami falsafah yang terkandung di sebalik setiap rukun dan bacaan.
“Solat bukan hanya rangkaian pergerakan dan bacaan yang diulang-ulang setiap hari, tetapi medan tarbiah yang membentuk jiwa serta hubungan manusia dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyentuh hati melibatkan seorang pembaca bukunya yang baru selesai menjalani rawatan di wad psikiatri.
“Suami kepada pesakit itu membelikan buku saya buat isterinya untuk dibaca ketika berada di wad dan selepas keluar, beliau datang menemui saya untuk mengucapkan terima kasih kerana buku itu memberinya harapan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurut Hafizul Faiz, pembaca tersebut memaklumkan bahawa penghayatan terhadap kandungan buku tersebut telah membantu beliau memahami dan memaknai solat dengan lebih mendalam.
“Saya katakan kepadanya, barangkali solat puan lebih bermakna daripada solat saya kerana puan lebih menghayatinya,” tambah beliau.
Dalam sesi yang sama, Hafizul Faiz turut menghuraikan makna takbiratulihram dari sudut psikolingual sebagai suatu bentuk pengisytiharan bahawa Allah SWT merupakan keutamaan tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim.
“Ketika seseorang mengangkat tangan dan melafazkan ‘Allahuakbar’, segala kebimbangan, masalah dan urusan duniawi seharusnya diketepikan buat sementara waktu untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Sang Pencipta,” jelasnya.
Sesi bedah buku yang berlangsung kira-kira sejam tersebut bertujuan untuk membuka ruang muhasabah kepada para hadirin serta membuktikan bahawa pesta buku bukan sahaja medan pertemuan antara buku dengan pembaca, malah platform penyuburan jiwa serta pengukuhan hubungan manusia dengan Tuhan.