Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) akan melaksanakan projek Kajian Terjemahan dan Penerbitan Mausu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai).

Kerjasama ini melibatkan penerbitan empat jilid ensiklopedia yang mengandungi sebanyak 3788 hadis yang terdiri daripada 11 nilai bertemakan keimanan, kemasyarakatan, akhlak, politik, pentadbiran, ekonomi, keilmuan, kesihatan, alam sekitar, tahap emosi dan estetika.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, projek ini merupakan sokongan DBP terhadap matlamat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat madani melalui penghayatan nilai murni yang terkandung dalam hadis.

“Penerbitan ensiklopedia ini dapat memperkukuh aspirasi kerajaan kerana kandungannya merangkumi pelbagai dimensi kehidupan seperti pentadbiran, keilmuan, kesihatan, alam sekitar dan emosi,” katanya ketika menerima kunjungan daripada Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, semalam.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, menerima kunjungan daripada Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, semalam.

Sementara itu, YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin menzahirkan penghargaan serta menyampaikan ucapan terima kasih daripada TPM, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kerjasama DBP untuk menjayakan projek penting ini.

Pertemuan antara kedua-dua pihak turut membincangkan aspek pelaksanaan termasuklah kaedah kerja, kos, pelantikan penterjemah dan pentashih, serta jadual projek.

Projek penerbitan Mausu‘ah Ahadith al-Qiyam ini merupakan projek kolaborasi pertama antara DBP dengan Pejabat TPM, serta menjadi simbol jalinan kerjasama erat kedua-dua pihak dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Yang turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Encik Abdul Ghani Abu; Ketua Bahagian Ensiklopedia, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali; Ketua Bahagian Harta Intelek, Puan Murjana@Norjanah Yusof; Ketua Bahagian Kewangan dan Bekalan, Encik Arman Halim Abdullah; Ketua Bahagian Undang-undang, Encik Mohd Isa Sapuan; serta pegawai DBP daripada Bahagian Ensiklopedia.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi