Diterbitkan pada 8 Jun 2026, 21:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menyarankan umat Islam untuk menghargai khazanah intelektual tokoh-tokoh tempatan kerana pemikiran mereka mampu membina jati diri bangsa, memperkukuh tamadun dan memacu pembangunan negara.

Beliau berkata, masyarakat wajar memberikan perhatian yang lebih besar terhadap pemikir tempatan yang memahami sejarah, budaya dan dinamika negara serta rantau ini, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada kerangka pemikiran luar dalam pembinaan masa hadapan negara.

“Sudah tiba masanya kita menghargai tokoh-tokoh tempatan yang memahami realiti, sejarah dan dinamika bangsa di Nusantara, bukan sekadar bergantung pada pemikiran luar,” katanya ketika menyampaikan wacana Diskusi Madani: Lima Tokoh Ilmuwan dan Pemikir Peradaban Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lalu.

Menurut beliau, usaha pembangunan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, bahkan turut melibatkan proses memerdekakan pemikiran rakyat daripada pengaruh warisan penjajahan.

“Kita perlu melalui proses dekolonisasi minda bagi membebaskan pemikiran daripada sisa-sisa penjajahan yang masih mempengaruhi cara kita melihat diri dan masyarakat,” jelasnya.

Dalam wacana tersebut, Dr. Zulkifli mengetengahkan lima tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Malaysia, iaitu Pendeta Za’ba, Syed Hussein al-Attas, Prof. Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menyentuh pemikiran Pendeta Za’ba melalui karya Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri, beliau berkata tokoh itu mengajak masyarakat membebaskan diri daripada sikap menyalahkan takdir dan terlalu bergantung pada pihak lain untuk keluar daripada kemunduran.

“Za’ba membangunkan jiwa dan jati diri bangsa melalui kesedaran bahawa kemajuan bermula dengan perubahan sikap dan kebergantungan pada kekuatan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Syed Hussein al-Attas pula menerusi karya Mitos Peribumi Pemalas telah mencabar naratif penjajah yang menggambarkan masyarakat tempatan sebagai mundur dan tidak berdaya saing.

“Syed Hussein al-Attas mengajar kita bahawa banyak persepsi negatif terhadap masyarakat pribumi sebenarnya dibentuk oleh naratif penjajah,” katanya sambil menegaskan pemikiran tokoh itu penting bagi mengembalikan maruah dan keyakinan bangsa.

Mengenai Prof. Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas, Dr. Zulkifli menyifatkan beliau sebagai ahli falsafah besar yang memperjuangkan proses desekularisasi ilmu bagi memastikan ilmu pengetahuan tidak dipisahkan daripada nilai dan pandangan alam Islam.

“Pemurnian ilmu atau desekularisasi amat penting supaya masyarakat tidak terperangkap dalam fahaman yang memisahkan dunia daripada agama,” jelasnya.

Beliau berkata, pemikiran Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar pula menyediakan asas epistemologi dan falsafah yang penting untuk memahami konsep masyarakat madani berdasarkan kajiannya terhadap gagasan al-Madinah al-Fadilah oleh Al-Farabi.

“Kajian beliau mengenai al-Madinah al-Fadilah menunjukkan bahawa pembangunan negara mesti berteraskan akhlak, adab dan ilmu,” katanya.

Dr. Zulkifli turut menyifatkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh yang sedang menterjemahkan falsafah dan teori di sebalik gagasan Malaysia MADANI dalam konteks pentadbiran negara melalui karya dan pemikirannya, termasuk Gelombang Kebangkitan Asia.

“Gagasan dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia menawarkan idea pembimbing yang relevan untuk Malaysia mendepani cabaran semasa,” katanya.

Beliau menegaskan kelima-lima tokoh tersebut membentuk satu rangkaian pemikiran yang lengkap, bermula daripada pembinaan jiwa, pembebasan minda, pemurnian ilmu, pembinaan teori dan akhirnya pelaksanaan dalam kehidupan bernegara.

“Oleh sebab itu, kita perlu kembali menghayati karya dan pemikiran tokoh-tokoh besar kita sendiri,” tegasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi