Diterbitkan pada 7 Jun 2026, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Universiti Ibn Haldun (IHU) Turkiye menjalinkan kerjasama strategik bagi mempromosikan kewangan beretika yang sejajar dengan prinsip maqasid syariah pada peringkat global.

Pemeteraian kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak tersebut diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Global Ke-3 di Istanbul anjuran AlBaraka Forum, sebuah badan pemikir global bebas dalam bidang ekonomi Islam.

Majlis penandatangan MoU itu disempurnakan oleh Pengerusi SC, YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi dan Presiden IHU, Profesor Dr. Atilla Arkan, dengan disaksikan oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IHU, Bilal Erdogan.

Menerusi kolaborasi tersebut, kedua-dua pihak komited mewujudkan usaha sama global untuk memperkukuh kepimpinan pemikiran tentang prinsip maqasid syariah dalam ekosistem pasaran modal Islam.

SC dalam satu kenyataan rasminya menjelaskan bahawa kerjasama yang dijalinkan membantu mengukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai peneraju pasaran modal Islam (ICM).

Jelasnya lagi, di Malaysia, ICM menyumbang sebanyak 64 peratus daripada keseluruhan pasaran modal dengan pertumbuhan 3.2 peratus, melonjak kepada RM4.3 trilion pada tahun 2025.

Ujar pihaknya, MoU tersebut turut memacu visi Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia 2026–2030 (Pelan Induk) yang bertekad untuk memperkasakan kepimpinan negara dalam kewangan Islam melalui peningkatan pembinaan kapasiti, penyelidikan dan kerjasama rentas sempadan antara pengawal selia dengan ahli akademik.

“Pelan Induk yang berlandaskan empat tema hasil, iaitu Kerancakan, Keterangkuman, Kemampanan dan Peluang Serantau seterusnya menyokong penggunaan prinsip maqasid syariah sebagai kompas etika,” katanya.

Bagi merealisasikan agenda pengantarabangsaan dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi global utama kewangan Islam beretika, SC mengadakan siri perbincangan strategik bersama-sama dengan pihak berkepentingan di Turkiye, termasuklah wakil sektor kewangan Islam serta badan pengawal selia dan penyeliaan negara tersebut.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Mohammad Faiz menyifatkan kerjasama dengan IHU merupakan titik penting dalam usaha memperjuangkan kewangan beretika selaras dengan maqasid di pentas global.

“Inisiatif ini menggabungkan pandangan jauh terhadap aspek kawal selia dengan ketelitian akademik untuk memajukan ekosistem kewangan yang mengutamakan kemakmuran bersama, kemampanan dan integriti etika,” tambahnya.

Menurut beliau, hasil utama yang dirancang di bawah pelan tindakan bersama ini merangkumi penubuhan pasukan petugas bersama bagi menyelia inisiatif kerjasama, perbincangan meja bulat global dan penerbitan laporan tahunan bersama.

Dalam perkembangan yang sama, Profesor Dr. Atilla Arkan berkata, kerjasama berkenaan mewujudkan peluang baharu dalam pertukaran intelektual, terutamanya kepimpinan pemikiran global dalam kewangan beretika, selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkiye.

Kredit Foto: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi