Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Lebih 3000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta masyarakat setempat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil khas pada Selasa bagi memperingati genap setahun tragedi kemalangan bas di Gerik yang mengorbankan 15 nyawa penuntut universiti itu pada tahun lalu.
Majlis yang berlangsung di Masjid al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI tersebut dipimpin oleh imam masjid, Muhammad Irfan Mohd Amir yang juga merupakan mahasiswa universiti berkenaan.
Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran majlis itu bukan sahaja menjadi simbol kebersamaan, bahkan menjadi ruang untuk warga universiti mendoakan kesejahteraan roh mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
“Walaupun masa terus berlalu, kehilangan mereka tetap dirasai oleh seluruh warga universiti.
“Kehadiran ribuan peserta pada malam ini mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga UPSI,” ujarnya.
“Kita berhimpun bukan sekadar untuk mengenang, tetapi untuk terus mendoakan agar keluarga mangsa yang ditinggalkan diberikan kekuatan bagi menghadapi ujian ini,” katanya lagi ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa UPSI komited memastikan kebajikan keluarga mangsa, serta sokongan emosi dan psikologi kepada warga yang terkesan diberikan secara berterusan.
Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, YBrs. Profesor Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, YBrs. Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Pendaftar UPSI, YBrs. Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, YBrs. Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril dan barisan pengurusan universiti.
Pada 9 Jun 2025, sebanyak 15 orang penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jerteh ke kampus utama di Tanjong Malim terbalik selepas melanggar sebuah Perodua Alza.