Diterbitkan pada 28 Januari 2025, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selayang – Sembilan pusat tahfiz di sekitar Selayang menerima Sijil Skuad Bomba Tahfiz dalam satu majlis apresiasi anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, semalam.

Majlis yang berlangsung di pekarangan BBP Selayang ini bertujuan untuk mengiktiraf pelibatan institusi tahfiz dalam program keselamatan kebakaran serta memperkukuh hubungan antara BBP Selayang dengan pusat pengajian agama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Tuan Wan Md Razali bin Wan Ismail menyampaikan sijil kepada wakil pusat tahfiz yang terlibat.

Ketua Balai BBP Selayang, Tuan Zaidi Ahtan berkata bahawa Skuad Bomba Tahfiz merupakan sebahagian daripada Pelan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021 – 2023 yang bertujuan untuk memperluas kesedaran keselamatan kebakaran di institusi pengajian agama.

“Kita ingin memastikan bahawa strategi 2.1 DKPN ini, iaitu membangunkan modul pembelajaran dan aktiviti kokurikulum keselamatan kebakaran pada peringkat sekolah dan institusi pengajian dapat dijalankan bukan hanya kepada sekolah harian biasa, namun turut diajarkan hingga ke pusat pengajian agama,” katanya.

Tambah beliau, “Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan penuntut pusat pengajian ini sebaliknya dapat memperkasakan mereka dengan pelbagai kemahiran dan memberikan mereka keberanian untuk bertindak sebagai responden pertama sekiranya kebakaran berlaku.”

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Tuan Wan Md Razali bin Wan Ismail, menyampaikan Sijil Skuad Bomba Tahfiz kepada wakil pusat tahfiz yang terlibat.

Antara pusat tahfiz yang menerima sijil termasuklah Maahad Tahfiz al-Quran Qasimul Ulum, Maahad Tahfiz Hidayatul Mustaqim, Maahad Tahfiz at-Taurah, Maahad Tahfiz Baitul Ehsan dan Maahad Islamiah wa Tarbiatul Banat.

Turut menerima sijil ialah Darul Quran Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor, Sekolah Tahfiz al-Habbah, Maahad Tahfiz al-Yamani dan Maahad Tahfiz Darul Mokhtar.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Penolong Pengarah Bahagian Latihan JBPM Negeri Selangor, Ketua Zon 6 dan Zon 7 JBPM Negeri Selangor serta pegawai dan kakitangan BBP Selayang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi