Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJitra – Perjuangan Palestin bukan terhad kepada kaum Arab semata-mata, tetapi merupakan isu masyarakat Islam sedunia.
Menurut Pengarah Pertandingan Reka Cipta melalui Pameran atau Invention Competition through Exhibition (iCompEx’24), Ts. Azimah Ismail, perkara tersebut ditekankan dalam penganjuran iCompEx pada kali ini yang bertemakan kemanusiaan dan kebebasan.
“Selari dengan tema ini, kami telah mengadakan forum yang menampilkan pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman sebagai penceramah utama, agar masyarakat mempunyai permahaman yang jelas berkaitan dengan latar belakang dan status Palestin sekarang ini dan seterusnya menyebar luas maklumat kepada khalayak umum.
“Program bersama-sama beliau secara tidak langsung membangkitkan semangat fi sabilillah dalam usaha membantu saudara seagama yang ditindas dengan kejam, sekali gus membangkitkan semangat cinta akan negara dan tanah air, sesuai dengan bulan kemerdekaan,” jelasnya ketika program Semarak Solidariti Palestin yang berlangsung di Dewan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) Jitra, baru-baru ini.
Tambah beliau, para peserta dapat mengetahui dengan lebih jelas situasi sebenar yang berlaku di tanah Palestin melalui pengalaman yang dilalui oleh Nadir Al-Nuri dan isterinya, Reem Al-Minawi sekali gus meningkatkan kesedaran dan pendidikan global tentang konflik Palestin – Israel serta pendidikan tentang sejarah, hak asasi manusia dan situasi kemanusiaan di Palestin.
Katanya lagi,
Program ini juga dapat meningkatkan semangat keinsanan dan kemanusiaan melalui tindakan kita untuk terus menyokong kempen solidariti buat Palestin melalui pelbagai saluran, termasuklah media sosial dan acara komuniti.
“Semoga solidariti berterusan ini dapat membangunkan sokongan global dan meningkatkan tekanan untuk kepentingan antarabangsa bagi membebaskan Palesteine dari kemelut peperangan,” ujarnya.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Nadir Al-Nuri menekankan kepentingan solidariti global dalam usaha menyokong perjuangan rakyat Palestin dan bagaimana bantuan yang disalurkan melalui CGM dapat meringankan beban umat Islam yang terjejas akibat daripada konflik yang berterusan.
Beliau juga menyeru agar masyarakat Malaysia terus memberi sokongan, sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan, doa, ataupun kesedaran melalui perkongsian maklumat.
Program Semarak Solidariti Palestin melibatkan sebanyak 286 orang peserta pameran reruai iCompEx’24 dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Libya, Arab Saudi dan Bangladesh.
Program tersebut turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat yang meliputi peringkat universiti, Institut Pendidikan Guru, politeknik, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, serta jemputan dari sekolah berhampiran.