10 Mei 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negara telah menetapkan tarikh 16 Mei sebagai tarikh Sambutan Hari Guru bertujuan untuk menghargai khidmat, jasa dan bakti para guru sebagai murabbi ummah, sekali gus pewaris tugas para rasul. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutus kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa-apa yang belum kamu ketahui.”

(Surah al-Baqarah 2:151)

Guru diamanahkan dengan tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak menjadi insan berguna. Para guru mempunyai jiwa untuk menyalurkan ilmu kepada anak muridnya yang datang dari pelbagai latar belakang serta memiliki pelbagai ragam. Kasih seorang guru terhadap anak muridnya ibarat kasih ibu bapa kepada anak. Guru sentiasa bersedia berkorban, menghulurkan bantuan kepada anak didiknya tanpa mengira waktu. Sehubungan dengan itu, sambutan Hari Guru merupakan penghargaan masyarakat, negara dan dunia yang mengiktiraf khidmat, jasa dan bakti para guru membangunkan insan.

Guru diamanahkan dengan tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak menjadi insan berguna.

Sasterawan Negara Usman Awang, melalui puisi bertajuk “Guru oh Guru!”, menyanjung tinggi khidmat, jasa dan bakti para guru melalui bait-bait yang berikut;

“Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

dengan lembut sabarnya, mengajar tulis baca.

 

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

dia adalah guru mewakili seribu buku

semakin terpencil duduknya di ceruk desa

semakin bererti tugasnya kepada negara.”

Sasterawan Negara A. Samad Said pula melalui puisi “Obor Hemah” menyifatkan guru sebagai awan indah yang terbang rendah, melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu dan berbuah hikmah. Guru juga diibaratkan sebagai atap ganti ketika pondok bocor, kitab sejarah di dalam bilik darjah, penelaah yang tekun, mewariskan dunia sebagai kutub khanah, menyediakan kutub khanah sebagai dunia, mengemudi biduk, dan melepaskannya di atas lambungan laut.

Ketahuilah bahawa seseorang yang berkerjaya hebat pada hari ini bermula dengan didikan dan asuhan seorang guru. Sedarlah bahawa tanpa didikan seorang guru, kita tidak mungkin mengenali Tuhan dan menjadi hamba yang soleh sebagaimana kata-kata hikmah:

Maksudnya: “Sekiranya tiada guru yang mendidikku, maka aku tidak mengenali Tuhanku.”

Cabaran dunia pendidikan semakin bertambah dengan perkembangan teknologi, terutamanya media sosial yang sukar dikawal.

Pada hakikatnya, belajar melalui guru (talaqqi) merupakan tradisi yang diwarisi bermula daripada pengalaman Rasulullah SAW belajar dengan Jibril a.s., kemudian diajarkan kepada para sahabat hingga generasi berikutnya. Tradisi tersebut merupakan proses mendidik demi melahirkan insan berpengetahuan yang mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah SWT berpandukan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Katakanlah! Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran hanyalah orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar 39:9)

Medan pendidikan semakin teruji dengan perkembangan teknologi, terutamanya apabila melibatkan media sosial yang sukar dikawal. Media sosial, jika tidak diurus secara bijaksana, berkecenderungan membawa kesan negatif dalam kalangan pengguna. Oleh itu, guru perlu bersedia membimbing murid untuk menggunakan teknologi seiring dengan nilai akhlak. Guru berperanan penting untuk membentuk jiwa dan memugar bakat anak bangsa. Sentuhan kasih dan perasaan sayang seorang guru ketika memberikan bimbingan, tidak dapat digantikan dengan teknologi.

Sebagai pendidik, guru berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi tuntutan semasa dan menerima pakai pengetahuan teknologi yang perlu disesuaikan, agar diimbangi dengan tanggungjawab untuk membentuk peribadi dan mengukuhkan jati diri murid. Tugas rumit ini perlu disahut oleh guru dengan hati yang terbuka.

Ketika memenuhi peranannya, para guru hendaklah menjadi suri teladan yang baik agar dapat dicontohi. Setiap tingkah laku guru sentiasa diperhatikan oleh segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, para guru perlu mempamerkan akhlak dan adab yang mulia, menghindarkan diri daripada terlibat dengan perkara yang boleh mencemarkan imej, memiliki integriti dan sifat ihsan; di samping memperlihatkan sifat yang mencintai ilmu, mengutamakan ilmu dan secara berterusan menerokai ilmu, agar terbina perwatakan profesionalisme yang diyakini oleh murid, dihormati oleh masyarakat dan dihargai oleh negara.

Tahap pencapaian guru turut bergantung pada tahap sokongan yang diberikan oleh ibu bapa dan anggota masyarakat dari segi idea, tenaga, masa, malah wang ringgit, bertepatan dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.”

(Surah al-Ma’idah  5:2)

Para pelajar hendaklah mengenang jasa guru dengan mengamalkan apa-apa yang diajar dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Oleh itu, untuk mencapai wawasan menghasilkan pendidikan berkualiti tinggi, pelbagai pihak yang merangkumi pelbagai agensi kerajaan, juga pihak swasta, persatuan alumni atau bekas murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat setempat dan pelbagai pihak lagi, perlu menjalinkan kerjasama erat dengan pihak sekolah, serta memberikan sokongan padu terhadap usaha para guru.

Masyarakat keseluruhannya diseru untuk mengangkat martabat guru dengan mengamalkan apa-apa yang diajar serta mendoakan kesejahteraan mereka. Ucapkanlah  “terima kasih cikgu” kerana telah menjadi guru kami, menyempurnakan tanggungjawab secara tekun dan sabar, mendidik kami untuk memahami matlamat hidup, membekalkan kami dengan ilmu untuk keperluan dunia dan akhirat, dan mengasuh kami untuk menjadi manusia yang amanah, bertanggungjawab, jujur dan ikhlas.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Islam mengangkat tinggi martabat guru sesuai dengan tugasnya menyampaikan ilmu dan mendidik manusia ke jalan yang benar dan berakhlak mulia, manusia berilmu dan terdidik yang kemudiannya berupaya memenuhi tanggungjawab membangunkan negara bangsa.

Kedua: Kenangi khidmat, jasa dan bakti para guru yang telah mengajar, mengasuh dan mendidik kita dengan mendoakan kebaikan untuk mereka dan keluarga, mengunjungi mereka setelah kita berjaya, dan menghulurkan hadiah tanda ingatan terima kasih bersempena dengan sambutan Hari Guru.

Ketiga: Masyarakat hendaklah bersedia menyokong dan berganding bahu dengan guru dalam usaha mewujudkan murid yang berpengetahuan, berketerampilan, berdikari dan berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 10 Mei 2024, bertajuk “Guru Insani Membentuk Generasi Bertamadun”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.