Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKunjung-mengunjung semasa Aidilfitri sememangnya menjadi kelaziman masyarakat kita. Walaupun Hari Raya Aidilfitri menurut Islam hanya disambut pada 1 Syawal, namun demi mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan keluarga, rakan dan masyarakat setempat menjadikan sambutan hari raya di seluruh negara meriah hingga akhir Syawal.
Hal ini tidaklah menjadi kesalahan dalam Islam kerana amalan ini juga dituntut untuk dilaksanakan, hatta menjadi satu daripada petua murah rezeki dan panjang umur sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambungkan silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Namun demikian, amalan yang sewajarnya menyuburkan pahala tuan rumah menjadi sebaliknya apabila tetamu yang hadir tidak menjaga adab dan perilaku semasa berziarah. Contohnya seperti memasuki bilik atau menyentuh barang tuan rumah tanpa izin serta merungut tentang makanan yang disediakan oleh tuan rumah.
Lebih parah apabila aktiviti ini dianggap sebagai “kerja sampingan” bagi kanak-kanak atau remaja yang kemaruk untuk mengumpul duit raya. Hal yang demikian sama sekali bertentangan dengan tujuan asal kunjung-mengunjung ke rumah jiran mahupun sanak saudara. Malangnya, terdapat segelintir ibu bapa turut berperanan “membentuk” anak mereka dengan cara ini sehingga anak beranggapan bahawa amalan ziarah ketika hari raya sebenarnya bertujuan untuk mengumpul duit daripada menyantuni tuan rumah yang dikunjungi.
Kesannya, anak tersebut tidak lagi memahami makna sebenar amalan kunjung-mengunjung yang sepatutnya dihayati bersama. Matlamat mereka hanya satu, iaitu mengumpul duit raya sebanyak mungkin dengan cara berkunjung ke rumah orang lain, sedangkan amalan ini sepatutnya mendidik anak untuk lebih mengenali dan menghormati sesama Muslim. Lebih memilukan apabila anak tersebut menjadi individu yang tidak berempati kepada tuan rumah apabila berkunjung ke rumah jiran pada waktu yang tidak sesuai seperti lewat malam atau tuan rumah sedang bersiap untuk keluar.
Situasi ini amat bertentangan dengan adab dan budaya kita sebagai umat Islam dan orang Melayu yang terkenal dengan ketinggian akhlak dan budi pekerti. Malah, sikap sebegini merupakan sifat mazmumah yang perlu dikekang supaya tidak berakar umbi dalam masyarakat sehingga menjadi budaya baharu dalam kalangan generasi akan datang.
Sesungguhnya, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan anak mereka tidak terjerumus dalam budaya yang terpesong ini. Mungkin ibu bapa tidak bermaksud untuk mengajar anak-anak mereka sedemikian, namun kerana kata-kata yang kurang sesuai, menyebabkan anak tersilap anggap terhadap apa-apa yang cuba disampaikan oleh ibu bapa kepada mereka. Ingatlah bahawa setiap perbuatan dan kata-kata yang keluar daripada mulut ibu dan ayah sememangnya menjadi contoh ikutan anak. Anak ibarat kain putih, maka ibu bapalah yang mencorakkannya.
Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan membetulkan perkara yang biasa dan membiasakan perkara yang betul supaya dapat melahirkan masyarakat yang lebih sensitif dan berempati terhadap manusia lain lebih-lebih lagi semasa Hari Raya Aidilfitri ini. Anak perlu dibimbing agar sentiasa berakhlak mulia dan berbudi bahasa terhadap tuan rumah. Kembalikan semula nilai-nilai murni yang telah diterapkan oleh nenek moyang kita yang sangat mementingkan adab dan akhlak.
Renungi hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tiada sesuatu yang lebih berat bagi timbangan seseorang mukmin itu pada hari kiamat daripada akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah tidak menyukai perkara keji, bahawasanya orang yang berakhlak mulia itu akan mencapai martabat orang berpuasa dan bersembahyang.” (Hadis riwayat Ahmad).