Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGuru memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia pendidikan. Rand Education (2012) melaporkan bahawa impak guru terhadap pencapaian pelajar adalah lebih dua atau tiga kali ganda lebih berbanding dengan faktor lain seperti saiz kelas, perkhidmatan, fasilitet dan kepimpinan. Bahkan, impak guru melebihi impak keluarga sebanyak empat hingga lapan kali ganda. Oleh sebab itu, guru yang baik akan memberikan impak yang baik terhadap pelajar. Kebaikan guru terutamanya dari segi hubungan personal yang tidak diikat hanya di dalam kelas akan turut memberikan kesan terhadap kejayaan ekosistem pendidikan.
Impak yang diingini dari sudut agama adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, iaitu melahirkan insan yang soleh. Maksud insan yang soleh ialah insan yang berakidah dengan akidah yang benar, beribadat dengan mengingati Allah pada setiap masa dan keadaan, berakhlak dengan akhlak yang mulia berdasarkan sunah, berpegang pada manhaj rabbani, berdakwah dan berjihad, berakal dan berilmu serta sentiasa aktif dan produktif dalam kehidupan sehariannya.
Antara contoh kisah yang biasa dirujuk tentang sikap guru terhadap pelajar termasuklah kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir seperti yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 60 hingga 82. Terdapat 10 sikap yang ditonjolkan oleh Nabi Khidir sebagai guru ketika berhadapan dengan Nabi Musa sebagai pelajar.
1) Nabi Khidir mempunyai ilmu yang sahih. Hal ini merupakan pengiktirafan Allah SWT terhadap Nabi Khidir dengan menyatakan bahawa ilmu yang dimiliki oleh Nabi Khidir ialah ilmu yang datang daripada Allah SWT (Surah al-Kahfi 18:65), dan Nabi Khidir menyebut bahawa baginda tidak melakukan apa-apa mengikut fikiran sendiri. (Surah al-Kahfi 18:82). Menurut Imam al-Qurtubi, kata-kata Nabi Khidir ini seumpama pengiktirafan Allah terhadap percakapan Nabi Muhammad SAW yang tidak menurut hawa nafsu, sebaliknya berdasarkan wahyu semata-mata. (Surah al-Najm 53:3-4).
2) Menguji tahap murid melalui penilaian kendiri pelajar. Hal ini merupakan satu daripada teknik jurulatih. Guru mengetahui tahap dan kebolehan setiap pelajar, tetapi mereka mahukan pelajar berefleksi terhadap diri sendiri. Hal ini berdasarkan tafsir Hamka terhadap ayat 67 Surah al-Kahfi dengan mengatakan bahawa Nabi Khidir mengetahui sifat baran Nabi Musa. Oleh itu, Nabi Khidir bertanya Nabi Musa jika baginda mampu bersabar terhadap kelakuannya yang tidak mampu difahami oleh Nabi Musa.
3) Menetapkan peraturan terhadap pelajar. Peraturan tersebut akan menjadi pembelajaran paling bermakna yang akan diteladani oleh para pelajar. Dalam konteks Nabi Khidir dan Nabi Musa, peraturan yang ditetapkan oleh Nabi Khidir merupakan larangan bertanya sehingga guru sendiri berasa perlu untuk memberikan pengajaran tersebut kepada pelajar. (Surah al-Kahfi 18:70). Menurut Imam al-Qurtubi, jika peraturan tersebut dipatuhi oleh Nabi Musa, maka sudah tentu lebih banyak ilmu yang dapat dipelajari oleh Nabi Musa daripada Nabi Khidir.
4) Sabar dan tegas dengan kerenah pelajar. Tiga kali Nabi Musa melanggar peraturan apabila baginda bertanya tentang tindakan Nabi Khidir, iaitu; mengapa Nabi Khidir melubangkan perahu (Surah al-Kahfi 18:72), mengapa Nabi Khidir membunuh anak kecil (Surah al-Kahfi 18:74), dan mengapa Nabi Khidir membina tembok yang runtuh? (Surah al-Kahfi 18:77). Nabi Khidir memaafkan kesalahan kali pertama dan kedua, namun peringatan tetap diberikan. Apabila Nabi Musa melanggar peraturan kali ketiga, Nabi Musa dihukum dengan hukuman perpisahan. Maksudnya Nabi Musa tidak lagi dibenarkan bersuhbah (bersahabat) mengikut Nabi Khidir. Analoginya pada masa ini ialah hukuman buang sekolah. Hukuman ini merupakan suatu hukuman yang berat. Oleh sebab itu, ketika Nabi Musa melakukan kesalahan kedua, Nabi Khidir memberikan peringatan dengan tegas dan keras, “Bukankah aku telah katakan kepadamu bahawa engkau sekali-kali tidak akan dapat bersabar bersamaku?” (Surah al-Kahfi 18:75).
5) Menerangkan kepada pelajar sesuatu perkara yang tidak difahami oleh mereka. Penerangan perlu dibuat dari dua sudut, iaitu penerangan tentang isi pelajaran dan penerangan ketika memberikan hukuman agar pelajar dapat belajar daripada kesalahan yang dilakukan. Dalam konteks Nabi Musa dan Nabi Khidir, penerangan tentang kesalahan merupakan pelajaran yang sangat bermakna buat Nabi Musa a.s.
6) Mengutamakan maslahat yang lebih besar berbanding dengan masalah kecil. Hal ini dapat dilihat sebagai contoh apabila Nabi Khidir membocorkan perahu untuk mengelakkannya daripada dirampas. (Surah al-Kahfi 18:79). Hal ini demikian kerana perahu yang rosak boleh dibaiki, namun jika dirampas, tiada lagi manfaat yang akan diperoleh daripada perahu tersebut. Para guru boleh mengambil iktibar melalui tindakan yang nampak sedikit rugi, namun besar manfaatnya untuk lebih banyak pelajar dan jangka masa yang lebih lama.
7) Menjaga khazanah ilmu. Apabila Nabi Khidir membina semula tembok yang runtuh, disebut dalam ayat 82 Surah al-Kahfi bahawa di bawahnya terdapat kanzun. Menurut Ibn Abbas, kanzun bermaksud khazanah lembaran catatan ilmu. Pembinaan semula tembok oleh Nabi Khidir membolehkan anak-anak pemilik tembok dapat menemui dan memanfaatkan kanzun yang terdapat di bawah runtuhan tembok itu apabila mereka dewasa kelak.
8) Menjaga adab dengan Allah. Adab merupakan sesuatu yang sangat halus dan tinggi. Ketika Nabi Khidir menerangkan tentang perbuatannya melubangkan perahu, baginda menyebut, “aku membocorkannya dengan tujuan untuk mencacatkannya.” (Surah al-Kahfi 18:79). Sebaliknya, ketika diterangkan tentang sebab baginda membina kembali tembok yang runtuh, baginda menyebut, “Tuhanmu mengehendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu.” (Surah al-Kahfi 18:82). Menurut Imam al-Qurtubi, lafaz pertama ialah kerosakan pada zahirnya, maka aibnya disandarkan pada dirinya. Sebaliknya lafaz kedua tertakluk kepada qada dan qadar Allah, maka terpulang kepada Allah tentang masa depan anak tersebut.
9) Tidak kekok mengajar pelajar yang mempunyai kedudukan dan martabat yang lebih tinggi. Hal ini kerana Nabi Musa merupakan seorang daripada nabi ululazmi yang sudah tentu memiliki martabat yang lebih tinggi di sisi Allah SWT. Namun begitu, Nabi Khidir tidak mengendahkan masalah tersebut dan terus tekun memberikan pengajaran kepada Nabi Musa.
10) Menjadi contoh terbaik terhadap ilmu dan ajarannya. Hal ini dapat dilihat daripada kesabaran Nabi Khidir ketika mengajarkan Nabi Musa. Baginda memberikan syarat supaya Nabi Musa bersabar atas segala tindakannya, dan baginda sendiri bersabar apabila sering dipersoalkan oleh Nabi Musa selepas sesuatu tindakan dilakukan.
Sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Khidir ketika berhadapan dengan pelajar sehebat Nabi Musa ini memberikan banyak lagi manfaat yang boleh diambil iktibar sama ada oleh guru ataupun pelajar. Semoga hal ini memberikan inspirasi kepada seluruh guru dan pelajar untuk bersabar ketika mengajar dan menitiskan ilmu buat para pelajar. Sekali guru, selamanya guru.