Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIstilah “belia” secara umumnya merujuk tempoh kehidupan apabila seseorang berada dalam usia muda antara fasa kanak-kanak dengan dewasa, iaitu pada usia antara 15 hingga 30 tahun.
Zaman keemasan seseorang manusia berlaku dalam usia al-futuwwah. Imam al-Qurtubi ketika mengulas tentang istilah al-futuwwah menukilkan takrifan al-Junaid yang memberikan maknanya sebagai sikap sentiasa melakukan kebaikan terhadap orang lain, tidak menyusahkan orang lain, menghindari perkara haram dan bersegera dalam perkara kebaikan.
Disimpulkan bahawa segala perkara yang baik dan berfaedah perlu terangkum pada seorang pemuda. Dalam al-Quran terkandung kisah orang muda yang bersedia menerima pembaharuan dan berani melakukan perubahan seperti yang digambarkan melalui Surah Yunus ayat 83 yang bermaksud:
“Maka tidak ada yang beriman kepada Musa melainkan sebilangan kecil (pemuda) daripada kaumnya. Itu pun dalam keadaan takut diseksa oleh Firaun dan ketua kaum mereka kerana sesungguhnya Firaun itu bermaharajalela di muka bumi dan dia sebenarnya dalam kalangan orang yang melampaui batas.”
Tamadun Islam mencatatkan bahawa banyak dalam kalangan pemuda Muslim yang mempunyai kualiti yang unggul. Contohnya, Sayidina Umar al-Khattab r.a. (berusia 28 tahun) dan Sayidina Ali (berusia 10 tahun), Jaafar bin Abi Talib (berusia 18 tahun), Qhudamah bin Maz’un (berusia 19 tahun) dan Abdullah bin Mas’ud (berusia 18 tahun) merupakan antara barisan pemuda yang mempamerkan fikiran terbuka untuk menerima perubahan, bersedia melakukan pembaharuan dan menerima risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya berperanan sebagai kumpulan penggerak terawal yang berada di barisan hadapan untuk mengambil tanggungjawab membantu Rasulullah SAW menyebarkan Islam, serta berani mempertahankan Rasulullah SAW daripada penentangan kafir Quraisy di Makkah dan pengkhianatan Yahudi di Madinah.
Demikian juga peranan Sayidina Usamah bin Zaid r.a., yang diberikan kepercayaan dan terpilih untuk mengetuai tentera Islam ketika berusia 18 tahun, dan beliau berjaya menakluki Kerajaan Byzantium. Sultan Muhammad al-Fateh pula ketika berusia 21 tahun telah berjaya menakluki Konstantinopel. Dalam dunia keilmuan pula, Imam Syafii diberikan kepercayaan oleh gurunya untuk memberikan fatwa ketika berusia 15 tahun. Pada hakikatnya, terdapat begitu banyak pemimpin Muslim dalam bidang keilmuan, pemerintahan, perniagaan dan ketenteraan yang menyerlahkan peranan dan memberikan sumbangan besar pada usia muda.
Sayidina Ali mengungkapkan bahawa, “Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemudanya pada hari ini.” Kata-kata tersebut menunjukkan bahawa kelangsungan, penerusan dan kekuatan masa hadapan sesebuah negara terletak pada tangan para belia pada masa ini yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Asas kekuatan sesebuah negara terletak pada tahap penguasaan ilmu dan kualiti pendidikan yang diperoleh oleh mereka. Wajah belia pada hari ini akan menjadi penentu kepada wajah negara pada hari kemudian.
Di Malaysia, 29 peratus daripada jumlah penduduk negara ini merupakan golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara, iaitu berjumlah 9.6 juta orang. Kemajuan dan kemakmuran negara pada masa hadapan akan dipengaruhi dan bakal ditentukan oleh para belia pada hari ini, setelah mereka mengambil alih tanggungjawab kepimpinan negara dalam pelbagai bidang merangkumi pemerintahan, pertahanan, keselamatan, hubungan antarabangsa, pendidikan, perdagangan, perniagaan, kemasyarakatan dan pelbagai bidang lagi.
Para belia akan mencorakkan dan memberikan identiti rupa bentuk warga di negara ini. Oleh itu, amat penting untuk mereka dididik, dibimbing, diasuh dan dilengkapi dengan pegangan dan kepercayaan yang teguh kepada Tuhan, agar mereka memiliki akidah, iman dan takwa yang kukuh untuk dijadikan asas ketika membina daya fikir, mencanai minda, membentuk watak dan membajai roh; semoga terbina jati diri yang kental, setia lagi patriotik kepada negara bangsanya. Oleh hal yang demikian, akan tersemai dalam sanubari mereka sifat amanah, jujur, telus, berterus terang dan bertanggungjawab, serta mempamerkan akal budi serta watak yang tertib, sopan dan bersusila.
Dalam hasrat mahu menyediakan angkatan belia yang dapat mewarisi dan memenuhi peranan kepimpinan secara bermakna, bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh para belia harus diperkasakan, agar mereka terdiri daripada barisan belia yang berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran, memahami keadaan sahsiah semasa, menguasai teknologi moden, memiliki daya fikir yang segar, serta berupaya menapis dan mengimbangi modenisasi atau kemajuan tanpa mengorbankan dan melupuskan, malah cekal mempertahankan nilai murni lagi berharga milik bangsanya agar kukuh teranyam dalam pemodenan yang berlaku.
Negara dan kepimpinan yang berwawasan jauh sewajarnya memberikan bimbingan, teladan dan panduan dalam usaha menyediakan belia untuk masa hadapan negara. Antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuklah;
Pertama: Memahami keperluan, hasrat dan harapan para belia yang pastinya mahu diwariskan sebuah negara yang aman dan damai, makmur dan sejahtera, terpelihara dan tidak musnah sumber kekayaannya, tidak menanggung hutang besar, tidak muflis, dan tidak tercemar sumber kehidupan asas seperti bumi yang subur, serta bekalan air dan udara yang bersih.
Kedua: Menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan berkualiti yang berupaya mengangkat status belia Malaysia yang berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa, yang dapat dinikmati oleh semua belia secara saksama, tanpa tanggungan berat kewangan kerana yuran pengajian yang tinggi.
Ketiga: Mentadbir urus negara dan kerajaan secara bersih, cekap dan amanah melalui budaya kerja pemimpin, pengurus dan pentadbir yang telus dan sifar rasuah, agar ekonomi negara berkembang sihat, mata wang negara menjadi kukuh, memberikan keyakinan kepada para pelabur, dan peluang pekerjaan semakin bertambah.
Keempat: Mendidik, mengasuh, membimbing dan menyediakan para belia sebagai pelapis kepimpinan dengan memberikan mereka pendedahan, peluang dan ruang untuk menjalankan amanah dengan tugas dan tanggungjawab dalam pelbagai organisasi, institusi dan agensi pada pelbagai peringkat.
Pada masa yang sama, para belia pula perlu memenuhi ciri-ciri dan tanggungjawab yang berikut kepada negara bangsa:
Pertama: Berpegang teguh kepada rukun iman, iaitu percaya dan yakin akan hari pembalasan agar tersemai iman yang teguh untuk membantu membina kekuatan jati diri.
Kedua: Menginsafi bekalan ilmu yang cukup diperlukan untuk melayari lautan kehidupan yang begitu luas lagi bergelora. Bahkan menyemai azam untuk melengkapkan diri dengan ilmu secara berterusan tanpa jemu dan lelah dalam semangat belajar dan terus belajar sebagaimana kata-kata Imam Syafii, “Jika kamu tidak tahan terhadap penatnya belajar, maka kamu akan menanggung bahaya kebodohan.”
Ketiga: Mempamerkan sifat insan bertakwa dengan mengamalkan akhlak mahmudah (terpuji) dan menjauhi sifat mazmumah (buruk), melakukan perkara yang makruf dan menjauhi perkara yang mungkar. Selain itu, belia hendaklah bersifat jujur, berintegriti dan amanah, berani, lantang serta tegas menolak rasuah, tidak bersubahat dengan para perasuah dan menolak pemimpin yang tercemar dengan rasuah, serta memupuk sikap kesungguhan dalam setiap tindakan sebagai persiapan menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Keempat: Menjadi warga yang memiliki semangat kesetiaan yang kukuh kepada raja dan negara, serta sedia berkorban dan berkhidmat untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
(Disesuaikan daripada teks khutbah, 17 Mei 2024, bertajuk “Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan”)