26 April 2024, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam bahasa Arab, penyucian jiwa disebut tazkiyah al-nafs, iaitu merujuk ilmu yang membicarakan tentang jiwa dan penyuciannya. Jika tubuh badan perlu dibersihkan pada setiap hari daripada kekotoran, begitu juga hati dan jiwa perlu sentiasa disucikan daripada sebarang kekotoran dosa berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Syams ayat 7 hingga 10:

Maksudnya: “Dan demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadian (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Lalu mengilhamkannya (untuk mengenal jalan) yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketakwaan. Sesungguhnya telah berjaya orang yang menyucikan jiwanya (dengan iman dan amalan soleh). Dan sesungguhnya telah rugi orang yang mengotorinya (dengan sebab maksiat).”

Al-Quran menghuraikan tiga bentuk utama jiwa manusia:

Pertama: Nafsu al-ammarah, iaitu jiwa atau nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan dan keburukan. Firman Allah SWT:

 

Maksudnya: “Dan aku tidak berani mengaku diriku suci (daripada dosa) kerana sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberikan rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

(Surah Yusuf 12:53)

Kedua: Nafsu al-lawwamah, iaitu jiwa yang sentiasa merasa menyesal apabila melakukan kesalahan dan dosa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Aku bersumpah dengan al-nafsu al-lawwamah (ialah jiwa yang senantiasa menegur dan menempelak dirinya sendiri semasa ia berbuat baik atau jahat. Ketika berbuat baik, ia menempelak dirinya mengapa ia tidak membuatnya lebih banyak? Sebaliknya, kalau ia melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi tempelak dan penyesalannya.”

(Surah al-Qiyamah 75:2)

Ketiga: Nafsu al-mutmainnah, iaitu jiwa yang sentiasa tenang berbuat kebaikan dan melakukan ketaatan. Firman Allah SWT ayat:

Maksudnya: “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu).”

(Surah al-Fajr 27-28)

Hati yang bersih akan disinari cahaya sekali gus membentuk perilaku yang baik sesama manusia.

Jiwa yang bersih daripada segala dosa dan kekotoran akan disinari cahaya ikhlas ketika melakukan ibadat atas nama Allah SWT, sekali gus membentuk perilaku yang baik sesama manusia. Jiwa yang bersih mendatangkan pelbagai kebaikan; dipenuhi sifat mahmudah, menjelmakan sikap mukmin beramanah, bercakap benar, berintegriti, pemurah dan merendah diri; malah manusia sekelilingnya turut merasai ketenangan daripada perilakunya. Jiwa yang kotor pula dipenuhi sifat mazmumah seperti sombong, dengki, bangga diri, bakhil, menipu dan beribadat untuk menunjuk-nunjuk; hanya menatijahkan tindakan yang tidak baik, kurang beradab dan lazimnya mudah terjerumus melakukan kemungkaran. Oleh itu, Allah SWT memberi hamba-Nya keupayaan untuk memilih sama ada jalan takwa atau sebaliknya. Namun begitu, hanya jalan takwa yang membolehkan umat Islam mencapai kebahagiaan, berupaya menyucikan jiwa daripada dosa dan sifat tercela.

Para ulama tasawuf menggariskan beberapa kaedah untuk membantu membersihkan jiwa, antaranya termasuklah bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat fardu, membanyakkan amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah, beristighfar, berselawat, berzikir dan membaca al-Quran. Segala amalan yang telah kita sempurnakan sepanjang Ramadan lalu merupakan amalan terbaik untuk menyucikan jiwa. Oleh itu, marilah kita bertekad dan terus beristiqamah membersihkan jiwa, demi mencapai kebahagiaan hakiki dengan diiringi keredaan Ilahi. Tinggalkan perkara sia-sia seperti asyik berhibur, ketawa berlebihan, membuang masa, berangan-angan, makan secara keterlaluan dan melakukan pembaziran kerana perkara tersebut menjadi penyebab jiwa menjadi lemah, kosong dan kurang mengingati kebesaran Ilahi.

Berdasarkan kajian, proses minda dan pemikiran (psikologi), jiwa juga membawa maksud minda manusia. Menjaga kesihatan minda atau pemikiran, mempunyai peranan yang sama penting dengan menjaga kesihatan jasmani. Minda yang sakit akan memudaratkan jiwa dan jasmani manusia, bahkan sering kali kesannya lebih mudarat daripada penyakit jasmani.

Pembersihan jiwa boleh dilakukan dengan membanyakkan amalan sunat seperti berzikir dan membaca al-Quran.

Abu Zaid al-Balkhi, seorang pakar perubatan dan pakar psikologi Muslim kurun ketiga Hijrah menyebut bahawa kesihatan jiwa sering kali diabaikan orang ramai kerana mengambil mudah akan kepentingannya. Pengabaian kesihatan jiwa sering kali menyebabkan mudarat yang lebih parah daripada penyakit jasmani. Menurut beliau, terdapat empat penyakit berkaitan dengan jiwa yang sering menimpa manusia;

Pertama: اَلْغَمُّ, iaitu tekanan atau keresahan.

Kedua: اَلْفَزَعُ,  iaitu kegerunan atau ketakutan yang melampau.

Ketiga: اَلْجَزَعُ, iaitu kemurungan atau kesedihan yang melampau.

Keempat: اَلْوَسْوَاسُ, iaitu bisikan hati yang mengganggu.

Gangguan tersebut lazimnya dialami oleh hampir semua manusia; namun menjadi parah apabila tidak dikawal atau dirawat. Abu Zaid al-Balkhi memberikan panduan pencegahan dan rawatan melalui dua kaedah; iaitu pertama, mendapatkan bantuan nasihat pakar atau kaunselor yang terlatih. Kedua, melakukan latihan minda secara bermuhasabah dan memperbetul cara berfikir dengan melihat akibat daripada tindakan yang bakal diambil.

Orang yang sedang marah hendaklah berusaha memadamkan kemarahannya dengan mendahulukan akal daripada nafsu.

Sebagai contoh, mereka yang dilanda tekanan ketika menghadapi kesulitan dan dugaan sebaiknya merenungi dan memikirkan nasib kesusahan orang lain yang lebih berat. Tanamkan dalam hati bahawa setiap kesusahan pasti ada kemudahan sebagaimana firman Allah SWT melalui ayat 5 hingga 6 Surah al-Syarh yang bermaksud: “Maka sesungguhnya (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan.”

Orang yang sedang marah hendaklah berusaha memadamkan kemarahannya dengan mendahulukan akal dan bukannya nafsu sebelum bertindak. Terlalu banyak contoh yang boleh dijadikan pengajaran. Kesilapan yang dilakukan kerana gagal mengawal kemarahan akan mengakibatkan kehilangan orang tersayang, kehilangan pekerjaan, keruntuhan rumah tangga, kemalangan, termasuk tergamak melakukan jenayah.

Oleh itu, kesimpulannya adalah seperti yang berikut:

Pertama: Penyucian jiwa boleh dilakukan dengan melazimkan amalan soleh antaranya termasuklah dengan beristighfar, berselawat, berzikir, membaca dan mentadabbur al-Quran, berpuasa, bersedekah, bermuhasabah dan beriadah, demi meraih ketenangan jiwa dan mencapai kesihatan jasmani. Jiwa yang diterangi cahaya iman akan menjernihkan akal, meluruskan panduan hidup dan akan sentiasa dirahmati Ilahi.

Kedua: Tidak mencemarkan jiwa dengan menjauhi diri daripada melakukan dosa yang hanya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Ketiga: Memahami peranan dan mendapatkan khidmat nasihat pakar atau kaunselor untuk membantu meredakan perkara yang menyebabkan berlakunya tekanan jiwa dan gangguan fikiran.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 26 April 2024, bertajuk “Penyucian Jiwa dan Manfaat Kesihatan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.