Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT,
Maksudnya: “Seorang daripada kedua-dua perempuan itu berkata, “Wahai ayahku, jadikanlah dia (Musa a.s.) sebagai pekerja (kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang ayah ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”
(Surah al-Qasas 28:26)
Bekerja dan mencari rezeki untuk menyara kehidupan bagi maksud mencapai kesempurnaan dan kesejahteraan hidup merupakan ikhtiar yang dituntut oleh agama ke atas setiap mukmin. Peranan sebagai khalifah Allah SWT hanya dapat dipenuhi dengan baik apabila umat Islam menitikberatkan nilai murni semasa melakukan kerja.
Ayat tersebut menunjukkan bahawa Islam meletakkan sifat al-qawiy, iaitu kekuatan mengurus, dan al-amin, iaitu amanah sebagai ciri-ciri yang wajib ada pada seseorang pekerja. Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai ibadat jika dilakukan dengan niat semata-mata mengharapkan keredaan Ilahi, serta kerja dilakukan secara bersungguh-sungguh dan memenuhi amanah. Pelbagai nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, melarang perbuatan mengkhianati amanah; juga memerintahkan umat bekerja dengan bersungguh-sungguh berdasarkan firman Allah SWT melalui ayat 105 Surah al-Tawbah:
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (dengan segala yang diperintahkan). Maka Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat amalan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kamu apa-apa yang kamu lakukan.”
Para nabi dan rasul menunjukkan contoh teladan yang baik sama ada ketika melaksanakan dakwah dan hal ehwal pemerintahan negara, begitu juga ketika memenuhi tanggungjawab kekeluargaan, yang dijelmakan dalam budaya kerja beramanah melalui amalan tadbir urus yang cemerlang, tersusun dan berwawasan.
“Budaya Kerja Cemerlang” telah diperkenalkan untuk diterapkan dalam pentadbiran di Malaysia sejak tahun 1989 bertujuan untuk mengekang salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai bentuk kecuaian. Selain memberikan penekanan menghasilkan pekerja yang mempunyai tahap kebertanggungjawaban yang tinggi, bercirikan pandangan Islam dan nilai-nilai murni, Budaya Kerja Cemerlang juga berhasrat melahirkan pekerja yang cekap dan mahir. Walaupun telah diperkenalkan selama 35 tahun, namun budaya tersebut masih belum berjaya diterapkan dan dihayati oleh setiap warga kerja. Perlakuan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa masih berlaku.
Sangat mendukacitakan apabila perbuatan rasuah dilaporkan terus meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, akhbar melaporkan bahawa sebanyak 406 orang telah dipanggil atau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat melakukan rasuah yang melibatkan penjawat awam, pekerja swasta dan orang awam. Jumlah tersebut meningkat, berbanding 397 orang yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
Semua pihak wajib bermuhasabah dan mengambil iktibar. Perbuatan pecah amanah, rasuah dan mentadbir urus secara sambil lewa menjadi antara punca negara mengalami kegagalan dalam pelbagai bidang merangkumi kepimpinan, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, sains dan teknologi. Oleh itu, kesungguhan mengamalkan sikap amanah, berintegriti, telus, jujur dan ikhlas wajib diutamakan dan dibudayakan oleh setiap pekerja Mukmin. Islam melarang perbuatan mengkhianati amanah berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul-Nya serta janganlah kamu mengkhianati amanah kamu walhal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal 8:27).
Sebagai seorang pekerja, umat Islam diuji dengan pelbagai cabaran berbentuk sogokan, harta, kekayaan, pangkat dan jawatan yang boleh mengaburi mata, sehingga ada dalam kalangan mereka yang sanggup mengorbankan prinsip dan kebenaran, lalu mengkhianati amanah yang diberikan. Sifat mazmumah yang bersarang di hati akan mendorong pekerja untuk melakukan perkara yang merosakkan seperti memberi dan menerima rasuah, mengambil harta secara bukan hak, menipu, memeras ugut, juga bersekongkol, bersubahat, malah ke tahap melindungi dan membela orang yang telah melakukan pecah amanah dan rasuah.
Kehendak nafsu apabila dibenarkan menguasai diri, sebenarnya telah membuka saluran untuk bisikan syaitan mempengaruhi denyut nadi dan fikiran insan, lalu mereka menyimpang daripada prinsip, bersedia melakukan perkara yang mungkar, sanggup menggadaikan maruah diri, keluarga dan bangsa kerana mahu mengejar keuntungan dunia sehingga gagal memikirkan kesan buruk yang bakal menimpa umat Islam dan negara.
Pekerja juga perlu beriltizam untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang kerja masing-masing dengan menambah ilmu pengetahuan, memperkayakan pengalaman dan meningkatkan kemahiran terutama penguasaan teknologi moden selagi tidak bertentangan dengan syariat. “Islah dan pembaharuan” perlu dipastikan sentiasa membawa penambahbaikan sama ada dari segi sistem, proses kerja serta penghasilannya, agar benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.
Pada masa yang sama, majikan wajib mewujudkan suasana bekerja yang harmoni agar dapat membentuk hubungan kerjasama yang baik sesama pekerja, memastikan pekerjaan berlangsung dalam suasana yang harmoni, selesa, serta bebas tekanan, lalu membolehkan pekerja mengembangkan idea dan kebolehan demi mencapai matlamat organisasi. Majikan juga bertanggungjawab memastikan pekerja mendapat imbuhan yang setimpal dengan keperluan hidup. Majikan wajib memberikan perhatian terhadap kebajikan pekerja dari segi perumahan, pengangkutan, kemudahan kesihatan dan keperluan latihan. Menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan para pekerja mereka tidak berada dalam kepompong kemiskinan.
Dalam hasrat membina sebuah negara yang makmur agar rakyatnya hidup sejahtera, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap perkara yang berikut:
Pertama: Membudayakan amalan bekerja yang cemerlang, bersungguh-sungguh serta menguatkan tekad mahu menyempurnakan tanggungjawab secara amanah, berintegriti, telus, jujur dan ikhlas; mengutamakan keperluan pelanggan dari segi memenuhi kualiti perkhidmatan serta menepati waktu.
Kedua: Memastikan pekerjaan yang dilakukan berada dalam kerangka yang dibenarkan syarak agar rezeki yang diperoleh membawa berkat.
Ketiga: Menolak sebarang tawaran dan imbuhan berbentuk harta benda, gelaran, pangkat dan jawatan sekiranya terpaksa bersubahat melakukan perkara mungkar yang bercanggah dengan ajaran Islam, serta sama sekali tidak akan melindungi orang yang terpalit dengan rasuah serta menyalahgunakan kuasa yang telah mengakibatkan negara terpaksa menanggung beban dan rakyat menanggung derita.
Keempat: Pekerja yang beriman akan senantiasa mengutamakan nilai keberkatan dan keredaan yang wajib dipupuk dalam diri, diperteguhkan agar menjadi benteng penghalang daripada melakukan perkara batil.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 3 Mei 2024, bertajuk “Bekerja dengan Tekad Amanah – Budaya Cemerlang”)