Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu telah pun berakhir. Keputusannya pun telah diketahui. Tahniah kepada yang menang, dan berlapang dadalah bagi yang kalah.
Tulisan ini sebagai nasihat yang bermatlamat inginkan kebaikan sesuai dengan kata Ibn al-Athir dalam Nihayahnya, sebagaimana yang dipetik oleh Hamka dalam Tasawuf Moden yang menyatakan bahawa nasihat itu suatu perkataan yang mengandungi erti yang panjang, iaitu berkehendak supaya orang yang diberikan nasihat itu beroleh kebaikan.
Reformasi menurut Kamus Dewan Perdana bererti perubahan atau pembaharuan yang mengarah kepada keadaan yang lebih baik dalam apa-apa juga hal atau sistem sama ada sistem politik, sosial, pendidikan dan sebagainya. Hati atau kalbu pula ialah pusat segala perasaan batin atau sanubari.
Apabila penulis menggabungkan dua perkataan menjadi “reformasi hati” dalam artikel ini, penulis memaksudkan bagaimana ahli politik dapat berubah dari sudut perasaan batin ke arah yang lebih baik dan suci demi politik yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Ketika berkempen, ada kalanya segelintir politikus terpalit batinnya dengan perasaan permusuhan dan dendam terhadap lawannya. Maka itu, terzahirlah melaluinya ucapan lisan dan perbuatan yang jauh daripada kebenaran, contohnya seperti melakukan fitnah dan serangan peribadi.
Hal ini terjadi kerana hilangnya akal budi untuk mengawal perasaan batin agar tidak melakukan perkara yang tidak baik. Maka itu, muncullah pada diri perasaan ujub dan sombong yang pada pandangan tasawuf merupakan maksiat batin.
Apabila politikus melakukan maksiat batin, pada hakikatnya mereka telah melakukan dosa kepada Allah dan dosa kepada makhluk dengan mengungkapkan bahasa dan percakapan ketika berkempen dengan fitnah, adu domba dan mengaibkan pesaing dari sudut peribadi. Dalam suasana negara yang memerlukan reformasi dalam erti kata perubahan ke arah yang lebih baik, hal ini tidak wajar dilakukan oleh ahli politik.
Jika dibiarkan tanpa teguran dan nasihat, keadaan ini hanya menggambarkan hilangnya akhlak diri sebagai seorang ahli politik yang sepatutnya menjadikan garis panduan agama dalam berkomunikasi sebagai asas penting yang perlu dipelihara sepanjang masa.
Asas pertama yang perlu dijaga ialah ahli politik tidak seharusnya bersifat ujub dalam diri. Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Bidayah al-Hidayah mengupas makna ujub sebagai memandang kepada diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran dan memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.
Antara alamat dan tanda pada diri orang yang ujub termasuklah selalu mengatakan pada lisannya bahawa dirinya lebih baik, senantiasa mengangkat diri, menonjol diri, kasar bahasanya dan sukar menerima hakikat kebaikan yang dilakukan oleh orang lain kerana rasa permusuhan dalam diri.
Sebagai akibatnya, dia terjerat dalam tipu daya syaitan dengan berani menabur fitnah yang bukan-bukan, mengaibkan pesaing, melakukan serangan peribadi dan pada akhirnya permusuhan sesama ahli politik akan terus berpanjangan.
Asas kedua yang perlu dijaga oleh ahli politik ialah tidak bersikap sombong dan takbur dengan keupayaan diri. Ingatlah bahawa kuasa boleh memberikan manfaat dan mudarat. Kuasa dapat memberikan manfaat jika ditadbir urus dengan panduan agama, dan boleh mendatangkan mudarat jika menjadikan hawa nafsu sebagai kiblatnya.
Agama menggariskan seseorang supaya tidak menyombong diri dan berasa megah dengan kedudukan.
Keadilan wajib ditegakkan. Ingatlah, pangkat dan jawatan ialah amanah. Mengejarkan kedudukan untuk menjadi ahli yang berhormat bukanlah untuk dihormati tetapi adalah untuk berkhidmat dengan penuh adil tanpa ada perasaan sombong dalam diri. Jika kesombongan menguasai diri, maka punahlah usaha untuk reformasi hati.
Asas ketiga yang perlu dijaga oleh ahli politik adalah untuk sentiasa menjaga kesucian hati sanubari supaya segala tindakan selari dengan kehendak ajaran agama. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat jantung hati (niat) kamu.”
Oleh sebab itu, ahli politik hendaklah sentiasa menjaga hati dengan tidak memainkan sentimen yang boleh mengucar-ngacirkan perpaduan bangsa dan mencetuskan suasana yang tidak aman kepada negara. Lakukanlah perubahan dalam hati sanubari untuk selamat bukan sahaja di dunia tetapi juga pada hari akhirat kerana penilaian Ilahi adalah pada islah dan reformasi hati.
Asas keempat yang wajib diperhatikan adalah dengan sentiasa berlaku ihsan. Ihsan dalam erti kata peduli dan mempunyai rasa empati kepada pesaing politik.
Bayangkan maruah pesaing yang tercalar akibat daripada fitnah yang dilakukan. Bayangkan juga kalau diri yang memfitnah terkena fitnah daripada orang lain. Tidakkah hal tersebut dua keadaan yang sama? Oleh sebab itu, ahli politik perlu lebih berhikmah ketika mengkritik dan tidak mengutip maklumat fitnah sebagai penambah perisa bagi menampakkan sesuatu perkara menjadi sensasi dan mengaut laba keuntungan politik.
Sebagai kesimpulannya, reformasi bukan hanya perlu berlaku kepada institusi tetapi reformasi hati wajib menjadi asas utama untuk diisi dalam sanubari. Semoga ahli politik mampu mereformasi hatinya ke arah lebih baik yang akan menjadikan Malaysia lebih maju dan berkat.