18 April 2024, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 28 531 orang daripada 230 587 orang calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 memperoleh keputusan Cemerlang (A) bagi semua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Jumlah tersebut dilihat meningkat berbanding dengan 19 266 orang calon yang memperoleh 8A pada tahun 2022 dengan lapan mata pelajaran tersebut ialah al-Quran, Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiah), Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, sebanyak 88 peratus calon mencatatkan keputusan lulus keseluruhan mata pelajaran, iaitu peratusan yang sama dengan tahun sebelumnya.

Tambah beliau, pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan pula menunjukkan peningkatan, iaitu 1.89 mata berbanding dengan 1.99 mata pada tahun sebelumnya.

“Gred Purata Skor bagi mata pelajaran al-Quran adalah sebanyak 1.35 mata; Ulum Syariah (2.52 mata); Sirah (2.31 mata); Adab (2.03 mata); Jawi dan Khat (1.97 mata); Lughatul Quran (2.56 mata); Penghayatan Cara Hidup Islam (1.17 mata) dan Amali Solat (1.17 mata),” katanya ketika Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2023 di sini, pagi tadi.

Beliau turut memaklumkan bahawa calon yang mendapat 8A adalah sebanyak 12.37 peratus manakala 7A pula adalah sebanyak 18 185 orang calon atau bersamaan dengan 7.89 peratus, diikuti dengan 6A berjumlah 19 606 orang calon, iaitu 8.5 peratus.

Katanya, calon yang mendapat 5A pula adalah sebanyak 25 697 orang; 28 422 orang calon mendapat 4A; 48 301 orang calon mendapat 3A; 28 460 orang calon mendapat 2A; 14 542 orang calon mendapat 1A; dan 22 302 orang calon pula tidak mendapat sebarang A.

Beliau berkata, kemenjadian murid bukanlah diukur daripada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.

“Kami berharap agar murid-murid yang mengikuti kelas KAFA ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang,” katanya.

Menurut YB Senator Dr. Naim, murid yang menduduki peperiksaan UPKK 2023 boleh menyemak keputusan masing-masing melalui dua mekanisme, iaitu secara dalam talian melalui laman sesawang http://semakan.islam.gov.my dengan menggunakan nombor MyKad serta angka giliran atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), iaitu UPKKnombor MyKadnombor angka giliran dan hantar ke 15888.

Semakan boleh dibuat mulai hari ini bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan keputusan yang dipaparkan adalah berbentuk rumusan secara umum.

Sementara itu, slip keputusan penuh pula boleh diambil di sekolah masing-masing bermula pada pukul 9.30 pagi esok.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr. Ruslan Said.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.