3 Jun 2023, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan antara agensi yang turut serta memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun ini.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Komersial dan Promosi, Bahagian Penerbitan JAKIM, Puan Nurul Widyamirza Sujan berkata, pihak JAKIM telah menyertai PBAKL sejak tahun 2000 lagi dan berhasrat untuk menyebarkan dakwah Islam melalui buku-buku yang diterbitkan.

Tambahnya, JAKIM bukan hanya mempamer dan menjual buku melalui PBAKL tetapi juga membawa bahan-bahan terbitannya agar lebih dekat dengan masyarakat.

“Di PBAKL, pihak JAKIM juga boleh memperluas kerjasama strategik dengan pihak syarikat gergasi dalam penerbitan di Malaysia kerana di sini terdapat banyak penerbit yang turut serta memeriahkan pesta buku kali ini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Komersial dan Promosi, Bahagian Penerbitan JAKIM, Puan Nurul Widyamirza Sujan semasa mempromosikan kemeriahan reruai JAKIM di PBAKL dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.

Menurut beliau, terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan di reruai JAKIM sepanjang PBAKL berlangsung antaranya termasuklah resensi 11 buku pilihan pengguna diulas dan dibedah supaya para pelanggan lebih memahami kandungan buku tersebut.

Katanya, antara aktiviti yang paling menarik di reruai JAKIM ialah pengurusan Braille kerana di sini bukan orang yang celik sahaja boleh membaca buku tetapi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan juga berpeluang untuk membaca bahan-bahan terbitan pihaknya.

“Pada hari Sabtu, pukul 5.00 petang bersamaan 3 Jun 2023 pula akan berlangsungnya majlis pelancaran buku baharu terbitan JAKIM dan majlis penyerahan sumbangan wakaf daripada pihak Yayasan Waqaf Malaysia bagi buku-buku terbitan JAKIM dan majlisnya akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim Haji Mokhtar,” katanya.

Beliau juga mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan PBAKL yang berbaki beberapa hari sahaja terutamanya ke reruai JAKIM kerana buku-buku terbitannya berautoriti dan berkualiti yang juga digunakan oleh para asatizah dalam kuliah-kuliah mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.