Oleh Syaza Wardina
9 Mei 2023, 20:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, penerbitan merupakan antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam konteks pemerkasaan dakwah.

Jelas beliau ketika sesi kunjungan hormat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke DBP pada petang tadi, DBP dan JAKIM perlu bersama-sama bekerjasama dalam usaha membentuk garis panduan penerbitan khususnya berkaitan dengan dakwah.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

“Dalam hal ini, DBP-JAKIM perlu bersama-sama memberi dan meminta pengalaman penerbitan masing-masing sebagai langkah memperkasakan hal ehwal penerbitan di kedua-dua agensi.

“Perkara ini akan diaturkan secara berstruktur dan pihak kami tidak berhalangan serta mengalu-alukan kerjasama strategik antara DBP dengan JAKIM,” ujar beliau.

Kunjungan hormat JAKIM ke DBP yang diadakan di Bilik Mesyuarat Aras 4, Wisma DBP tersebut membuka ruang perbincangan mengenai kolaborasi pemartabatan bahasa Melayu dan agama Islam yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua agensi.

Antara perkara yang diambil perhatian termasuklah penyelidikan, penerbitan bahan dakwah, serta pembinaan peradaban bangsa seperti pemerkasaan persuratan Islam dan Jawi.

Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusof.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusof menyatakan pandangannya bahawa beliau melihat ruang kerjasama yang luas antara DBP dengan JAKIM.

“Banyak ruang kerjasama yang dibincangkan selain saling bertukar pendapat bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua agensi khususnya hal-hal berkaitan dengan penerbitan bahan-bahan dakwah,” ujar Datuk Hajah Hakimah melalui hantaran Facebook rasmi beliau.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah, Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, ketua-ketua bahagian DBP, Pengarah Bahagian Penerbitan JAKIM, Ustaz Azman Mat Hassan, serta para pegawai dari DBP dan JAKIM.

Barisan pengurusan tertinggi serta pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada sesi kunjungan hormat JAKIM ke DBP, petang tadi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.