10 Jun 2023, 08:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) akan berlangsung bermula pada 11 hingga 16 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.

Penolong Pengarah Kanan, Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Tuan Norzaidan Haji Ahmad berkata, program ini merupakan program tahunan yang bakal berlangsung buat kali ke-65 pada tahun ini.

Penolong Pengarah Kanan, Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Tuan Norzaidan Haji Ahmad semasa menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.

“Program ini bukti komitmen kerajaan untuk terus memartabatkan al-Quran di negara kita.

“Sebanyak 108 orang peserta dari seluruh negara bakal bertanding dalam MTHQK kali ini dengan anggaran setiap negeri secara umumnya akan menghantar dua orang peserta bagi kategori tilawah dan enam orang bagi kategori hafazan,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.

Tambah beliau, sebanyak 108 orang peserta tersebut termasuklah johan menunggu, iaitu qari dari negeri Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan yang layak bertanding sekali lagi kerana belum menang di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, penjurian pada tahun ini akan menggunakan sistem e-tilawah dengan 32 orang hakim, iaitu 17 orang hakim bagi kategori tilawah dan 15 hakim bagi kategori hafazan.

Kesemua mereka akan diketuai oleh ketua hakim yang merupakan Ketua Pengarah Jakim sendiri, YBhg. Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Tambahnya, penghakiman dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria seperti kelancaran bacaan, tajwid, suara, persembahan dan taranum.

“Penggunaan sistem e-tilawah dalam MTHQK merupakan satu jaminan penghakiman yang diberikan adalah yang baik, berkualiti dan dapat mencari qari, qariah, hafiz dan hafizah terbaik sebagai wakil negara kita di peringkat antarabangsa yang bakal berlangsung pada Ogos nanti,” katanya.

Menurut beliau, hadiah untuk pemenang pada MTHQK kali ini juga lumayan dan bertambah dari tahun lepas, menunjukkan komitmen tinggi kerajaan untuk memartabatkan para qurra’ dan huffaz supaya mereka dapat masuk ke dalam masyarakat dan seterusnya membina masyarakat dengan nilai yang baik melalui al-Quran.

Beliau berharap masyarakat Malaysia terutamanya yang menetap di kawasan utara Malaysia dapat hadir beramai-ramai ke MTHQK yang berlangsung selama enam hari nanti kerana terdapat juga aktiviti menarik yang lain seperti pameran dan jualan.

MTHQK turut disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 dan TV Alhijrah dari 11 hingga 16 Jun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.