9 Jun 2023, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia dan Indonesia mempererat kerjasama dalam bidang pensijilan halal produk tempatan kedua-dua negara menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal bagi Produk Domestik, semalam.

Melalui MOC ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf di Republik Indonesia manakala Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) sebagai badan pensijilan halal di Republik Indonesia akan disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf di Malaysia.

“Dengan pengiktirafan ini, maka produk dan logo halal Malaysia yang disijilkan oleh JAKIM boleh memasuki pasaran Republik Indonesia tanpa halangan dan produk yang dikilangkan di Republik Indonesia dan memakai logo halal BPJPH juga boleh memasuki pasaran Malaysia.

“Kerjasama ini sekali gus memudahkan pengeksportan produk Malaysia ke Republik Indonesia serta menyumbang kepada peningkatan perdagangan produk halal antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan JAKIM, semalam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff dan Pengerusi BPJPH, Bapak Muhammad Aqil Irham Mohd semasa menandatangani MoC Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal bagi Produk Domestik di Kompleks Sri Perdana, semalam. (Sumber foto: JAKIM)

MoC ini juga membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pensijilan halal yang meliputi aspek latihan, penyelidikan dan analisis produk halal demi kepentingan bersama.

Tambahnya, MoC ini juga akan menjadi perintis kepada kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pengurusan halal yang lebih luas pada masa pada masa akan datang.

Kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, manakala Republik Indonesia pula diwakili oleh Pengerusi BPJPH, Bapak Muhammad Aqil Irham Mohd dalam pemeteraian MoC tersebut yang berlangsung di Kompleks Sri Perdana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.