27 Mac 2024, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan Majlis Iftar MADANI (MIM) pada hari Khamis, 28 Mac 2024 di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya mulai jam 5.30 petang sehingga 8.00 malam bersempena dengan cuti Nuzul Quran.

Menurut JAKIM, program yang julung kali diadakan ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.

Tambahnya, program ini merupakan anjuran bersama JAKIM dan Perbadanan Putrajaya serta kerjasama dengan 14 agensi agama persekutuan dan rakan strategik yang lain termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.

“Objektif majlis ini adalah untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki dan sekali gus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan YAB Perdana Menteri,” kata JAKIM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, katanya, majlis ini juga membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama YAB Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai keadaan pelbagai lapisan rakyat di negara ini di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini.

Menurut JAKIM, konsep program ini bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI oleh YAB Perdana Menteri yang antara lain menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat.

“Sebanyak 10 000 orang dijangka akan membanjiri Bulatan Dataran Putra, Putrajaya untuk berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan secara duduk bersila bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri dalam Majlis Iftar Madani,” maklum JAKIM.

Tambahnya, sebanyak 10 000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru disediakan kepada tetamu.

JAKIM berkata, orang ramai yang bakal hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), belia, orang awam, kanak-kanak dan 180 asnaf di Wilayah Pesekutuan.

Katanya, bagi memastikan keselesaan orang awam yang hadir, bas ulang-alik disediakan di Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (Selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13) yang mencukupi.

“Antara acara menarik sempena Majlis Iftar MADANI ini termasuklah penampilan istimewa persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla, Tazkirah Santai Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P. Ramlee dan Tausiyah Ramadan oleh Ketua Sekretariat Duat Al-Falah, Ustaz Abdul Hadi Bakri,” katanya.

Tambah JAKIM, Majlis Iftar Madani ini juga dapat menarik kehadiran pelancong asing yang ingin menimba pengalaman menikmati juadah berbuka puasa di negara ini.

Orang ramai bersama-sama keluarga dijemput bagi memeriahkan lagi majlis Majlis Iftar MADANI pada esok hari di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya mulai pukul 5.30 petang hingga 8.00 malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.