4 Januari 2024, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia berada pada tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023 berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023 yang dikeluarkan oleh Dinar Standards.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd. Yusoff.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd. Yusoff, pencapaian ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia semakin berkembang pesat jika dibandingkan dengan negara lain.

Tambahnya, pencapaian ini juga telah menyumbang kepada kedudukan Malaysia untuk mengekalkan tempat pertama daripada 81 buah negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

“Pensijilan halal Malaysia telah mengalami perubahan yang besar sepanjang tahun 2023 dan impak kepada perubahan ini dapat dilihat hasil daripada pelaksanaan Business Process Engineering (BPR) bermula dari Januari 2023,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas beliau, melalui pelaksanaan BPR ini, JAKIM telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 (ISPHM 2.0) hasil daripada projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia yang telah dijalankan.

Menurut beliau, sebanyak 15 605 jumlah permohonan telah direkodkan sepanjang tahun 2023 berbanding dengan 14 977 permohonan pada tahun 2022 dengan peningkatan jumlah permohonan sebanyak 4.0 peratus.

Tambahnya, jumlah kelulusan permohonan bagi tahun 2023 adalah sebanyak 8509 permohonan dan jumlah produk yang telah dipersijilkan halal pula adalah sebanyak 132 106 produk meliputi skim produk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, bahan gunaan dan peranti perubatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa fi pensijilan halal Malaysia yang telah berjaya dikutip pada tahun 2023 adalah sebanyak RM11,035,300.

Katanya, JAKIM akan memastikan pencapaian sebegini akan dikekalkan pada masa akan datang dan komitmen yang penuh akan diberikan bagi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik.

“Pelbagai inisiatif baharu akan dirancang dan dirangka bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia pada peringkat global,” tambahnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.