Oleh Syaza Wardina
8 April 2024, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan Solat Sunat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang (musala).

Solat Sunat Aidilfitri di Perlis diselaraskan bermula pada pukul 7.45 pagi hingga pukul 8.15 pagi bergantung kepada keputusan yang dipilih oleh jawatankuasa kariah masing-masing.

“Pemilihan tanah lapang berkenaan tertakluk pada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh Perlis.

“Pelaksanaan ini selaras dengan sunah Rasulullah SAW,” titah baginda.

“Walau bagaimanapun, pihak jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung pada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah baginda lagi.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, setiap jawatankuasa kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan dengan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan dengan sebaik-baiknya untuk penyelarasan kepada ahli kariah.

Titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak jawatankuasa kariah seperti surau rasmi di Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Pada masa yang sama, baginda turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyak istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai mezahirkan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azzawajalla.

Tuanku Raja Muda Perlis saya turut menyempurnakan titah Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis menzahirkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H” dan “taqabbalallahu minna wa minkum”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.