Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa setiap pelajar perlu melengkapkan diri dengan nilai sahsiah yang mantap agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang gejala yang tidak sihat, terutama apabila melangkah keluar dari alam persekolahan kelak.

Baginda bertitah bahawa para pelajar perlu mendapat bimbingan daripada ibu bapa dan pihak sekolah untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran ayat suci al-Quran agar hal tersebut menjadi sebati dalam jiwa masing-masing.

“Saya ingin mengingatkan bahawa anda semua ialah generasi masa depan yang akan menentukan kesejahteraan agama, bangsa dan negara kita.

“Oleh itu, sematkan azam yang teguh untuk mempersiapkan diri anda menjadi cendekiawan dan teknokrat Islam yang berpandukan al-Quran”, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 bagi peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau yang melibatkan sebanyak 291 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Keberangkatan tiba baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin; dan Pengetua SMKA Arau, Tuan Haji Arpan Shaari.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan tetamu kehormat bergambar bersama-sama para pentadbir dan pelajar sekolah Menengah Kebangsaan (SMKA) Arau, Perlis.

Turut hadir sama ialah Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Arpan Shaari dalam ucapannya menyatakan bahawa semua pihak harus bekerjasama dalam menjayakan program seumpama ini terutamanya dalam usaha membantu SMKA Arau untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai sekolah nombor satu terbaik bagi meningkatkan akademik di negeri ini.

Sekolah ini telah berjaya membawa pulang pingat emas dan juga gangsa bagi pertandingan Innovation 2023 Idea Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga pingat gangsa bagi International Eureka Innovation Exhibition (I-EIE) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kulim.

Saban tahun, sekolah ini akan menyertai sekurang-kurangnya dua pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, apatah lagi pertandingan peringkat kebangsaan dan negeri supaya para pelajar sekolah ini diberikan pendedahan luas tentang aplikasi pembangunan produk dalam dunia sebenar.

Pengalaman pelajar menyertai pertandingan ini banyak membentuk diri pelajar lebih yakin dalam berkomunikasi yang berkesan, menambah minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis serta kemahiran.

Antara produk yang telah dihasilkan untuk dibawa bertanding dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang berjaya mendapat pingat emas termasuklah alat menukar pesanan teks kepada suara, yang disambung terus kepada sistem siar raya sekolah. Maka itu, pengguna boleh menghantar mesej kepada alat ini dari jauh, dan pesanan akan terus diumumkan di sistem siar raya sekolah.

Produk lain yang berjaya memenangi pingat emas adalah penghasilan papan kenyataan yang diperbuat daripada hampas tebu dan puntung rokok yang boleh mengoptimumkan penggunaan sisa buangan.

Sebagai rekod, bilangan pelajar yang telah khatam hafazan al-Quran dari sekolah ini berjumlah 77 orang pada tahun 2021, 70 orang pada tahun 2022 dan 76 orang untuk 2023. Jumlah keseluruhan SMKA Arau melahirkan huffaz adalah seramai 223 orang.

Gred Purata Sekolah (GPS) bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah ini adalah 2.26 bagi tahun 2022 berbanding dengan 2.96 pada 2021.

Sebanyak tujuh orang pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara dan 70 orang di dalam negara bagi 2021, manakala pada tahun 2022, lapan pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara dan 62 orang di dalam negara.

Dalam bidang ko-kurukilum pula SMKAA muncul juara di Kejohanan Silat Jemputan Kebangsaan Prosilat Negeri Johor 2023, Johan Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan 2023 Bawah 16 Tahun, serta Naib Johan Mimvar Dai Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.