Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah berharap agar institusi masjid sentiasa diperkasakan.
Titah Baginda, pemerkasaan institusi masjid perlu dilihat dari dua sudut, iaitu sama ada daripada pihak pengurusan masjid ataupun pengiktirafan masyarakat terhadap fungsi dan peranannya.
“Pihak masjid perlu memainkan peranannya untuk memantapkan pengurusannya sama ada dari segi pengimarahan ataupun fizikalnya selain turut berperanan membantu mempertingkatkan kesejahteraan sosioekonomi anak kariahnya,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Baginda bertitah sedemikian bersempena dengan Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan ke-8 bagi Tahun 2024 yang diadakan di Masjid Negeri Arau, baru-baru ini.
Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
“Pada masa yang sama, peranan institusi masjid hendaklah sentiasa diiktiraf oleh masyarakat, melalui penyertaan dalam pengimarahan seperti hadir solat berjemaah dan kelas agama selain turut memberikan sumbangan kewangan bagi melestarikan ekosistem pengimarahan dan tadbir urus masjid yang kondusif,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs menyampaikan plak penghargaan kepada Muslim Chatid Nawar yang telah menyumbangkan sebanyak RM101,000 bagi tujuan aktiviti pengimarahan di masjid seluruh Perlis yang disampaikan melalui MAIPs.
Sementara itu, pihak MAIPs turut menyampaikan sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM30,000 yang diserahkan oleh baginda kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Isa.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam Besar Negeri Perlis, Haji Ahmad Sirajuddin Haji Abd Sattar al-Hafiz.