Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 13 April 2023, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyerahan peruntukan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM25 ribu untuk tujuan pengimarahan Ramadan kepada lima buah pusat dan rumah kebajikan di sekitar negeri Perlis pada tahun ini.

Simbolik penyerahan sumbangan MAIPs oleh Pemangku Raja Perlis, DYTM DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Rusdi Ishak di Masjid Nurul Hikmah, Wang Bintong, Kangar.

Pusat dan rumah kebajikan yang bakal menerima sumbangan tersebut ialah Rumah Seri Kenangan Jejawi, Rumah Kanak-kanak Arau, Pusat Jagaan Warga Emas Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Rumah Sejahtera Warga Emas Baitul Hanan Behor Mali dan Pusat Jagaan Teratak Rahmat Mata Air.

Titah DYTM Pemangku Raja Perlis, “Usaha menggandakan amal ibadah dan amalan kebajikan pada penghujung bulan Ramadan ini hendaklah sentiasa diberikan perhatian dan tidak dilepaskan oleh seluruh umat Islam.”

“Berada pada fasa akhir bulan yang berkat ini, umat Islam turut diseru untuk menggandakan amalan kebajikan termasuk menyuburkan amalan berwakaf,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, MAIPs telah menyediakan pelbagai peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah berwakaf bersempena dengan bulan kesedaran berwakaf peringkat negeri Perlis pada bulan Ramadan ini.

Antara inisiatif projek wakaf yang sedang diperkenalkan termasuklah Pusat Rawatan Katarak berkonsepkan wakaf dengan kerjasama Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar; sumbangan wakaf prasarana di Pusat Autisme Negeri Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia; Wakaf Khadamat iaitu wakaf perkhidmatan; selain wakaf am.

Simbolik penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis yang diterima oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Rusdi Ishak, bagi pihak lima buah rumah kebajikan berkenaan di Masjid Nurul Hikmah, Wang Bintong, Kangar.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Sumbangan wakaf masyarakat terus melalui MAIPs boleh dilakukan dengan melayari portal rasmi MAIPs.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi