Oleh Syaza Wardina
28 Jun 2023, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cape Town – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menandatangani perjanjian hasrat kerjasama dengan Awqaf SA bersempena dengan program Safar Ilmi MAIPs ke Afrika Selatan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak MAIPs manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mickaeel Collier mewakili Awqaf SA dengan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang wakaf terutamanya yang melibatkan kerjasama program pada peringkat global.

Pada masa yang sama, Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian hasrat kerjasama tersebut.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri The International Seminar on Tajdid yang berlangsung di Auditorium Islamia College, Rylands Estate, Cape Town, baru-baru ini.

DYMM Pemangku Raja Perlis turut berkenan berangkat menyampaikan titah ucaptama dan seterusnya merasmikan The International Seminar on Tajdid yang berlangsung di Auditorium Islamia College, Rylands Estate.

Titah baginda, “Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab dan berperanan dalam setiap usaha memartabatkan institusi Islam demi kemajuan, kelangsungan dan kesejahteraan ummah.”

“Justeru itu, kita perlu memastikan setiap institusi atau agensi agama diuruskan dengan baik mengikut konsep tadbir urus Islam yang bijaksana dan mampan,” titah baginda dalam seminar anjuran Awqaf South Africa dengan kerjasama International Peace College South Africa (IPSA), Medina Institute, Islamia College dan Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC) tersebut.

Tambah baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs, “Institusi berkaitan dengan hal ehwal Islam perlu memberikan fokus yang khusus dalam usaha menjaga maslahah agama, melaksanakan pendekatan dakwah dan tarbiah demi memastikan perpaduan ummah terpelihara.”

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap agar kerjasama dan perkongsian strategik dalam hal ehwal agama Islam akan mewujudkan sinergi positif yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, iaitu Afrika Selatan dan Malaysia terutamanya kepada Perlis.

 

Foto: Ihsan MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.