1 April 2024, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, tular satu video di laman media sosial TikTok dan Facebook yang memperlihatkan sebuah masjid di Kedah menjemput orang ramai menyumbangkan dana untuk masjid tersebut membina sebuah hotel yang bernilai RM2.4 juta.

Tindakan masjid tersebut mendapat pelbagai reaksi orang awam. Ada yang menyokong, ada yang tidak menyokong. Dalam tulisan ini, penulis ingin mengajak pembaca berfikir sejenak bagaimana hasil derma yang diterima oleh surau dan masjid dapat diimarahkan.

Di negeri Darul Aman tersebut, penulis cukup tertarik akan dua buah masjid, iaitu Masjid Al Busyra di Merbok dan Masjid Murthada Dakwah Centre (MADAD) di Sungai Petani. Kedua-dua masjid ini mengamalkan konsep “kami tak simpan duit hangpa”. Konsep ini sangat menarik dan sepatutnya menjadi konsep yang tepat untuk mengurus sesebuah rumah Allah.

Apabila menyebut perkataan masjid atau surau, lazimnya masyarakat akan berfikirkan bahawa tempat tersebut merupakan tempat suci bagi umat Islam untuk melaksanakan ibadat. Akan tetapi, ramai yang terlepas pandang bahawa masjid dan surau juga menjadi wadah untuk mengukuhkan ikatan kebersamaan dalam masyarakat.

Terdapat satu aspek penting yang sering kali dilupakan oleh pengurusan masjid dan surau, iaitu pengurusan kewangan yang efektif. Sumbangan atau sedekah kepada surau dan masjid perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kemajuan dan kesejahteraan umat.

Masjid Al Busyra dan Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD) di Kedah wajar dijadikan sebagai contoh masjid dalam penyediaan kemudahan yang baik kepada orang awam. (Foto: Facebook rasmi Masjid Al Busyra dan Murtadha Dakwah Centre).

Derma orang ramai tersebut merupakan amanah yang disampaikan kepada ahli jawatankuasa masjid daripada orang ramai. Derma tersebut bukan untuk disimpan dalam akaun bank, tetapi perlu digunakan semaksimum mungkin bagi pembangunan masjid, terutamanya dalam hal menyediakan fasiliti yang baik dan lengkap untuk kegunaan jemaah.

Seharusnya fasiliti masjid menjadi fasiliti terbaik kerana tujuan utama masjid dibina adalah untuk melaksanakan ibadat. Ibadat bukan sahaja solat dan zikir, tetapi bagaimana seseorang individu tersebut dapat melaksanakan solat dan zikir itu dengan sempurna dan tenang.

Lihat bagaimana Masjid Al Busyra membina tandas mereka yang begitu cantik setaraf dengan tandas di hentian rehat dan rawat. Hasilnya, masjid itu juga memperoleh Anugerah Standard Pelancongan ASEAN (Peringkat Kebangsaan) bagi kategori tandas awam terbaik pada 12 Jun tahun lalu.

Duit yang diperolehi oleh masjid atau surau juga boleh atau wajar dijadikan sebagai modal untuk berniaga atau menaiktaraf ekonomi masyarakat setempat. Masjid Al Busyra berjaya mengendalikan sumbangan orang ramai ke arah memajukan ekonomi setempat. Mereka memiliki medan selera, perkhidmatan percetakan, dewan serbaguna, rumah inap bagi musafir, studio, kedai runcit, kedai gunting rambut, spa dan salun mesra muslimah, dobi dan telaga wakaf. Semua ini hasil daripada sumbangan orang ramai dan dijadikan modal untuk berniaga.

Selain itu, fasiliti masjid yang telah dibangunkan tersebut, berserta logistik yang dimiliki oleh masjid, perlulah dibuka untuk kegunaan ahli kariah atau masyarakat setempat. Konsep ini sangat praktikal untuk dibuat. Lazimnya surau atau masjid kini memang akan mempunyai peralatan seperti khemah, alat memasak, meja dan kerusi. Barangan tersebut boleh dipinjamkan secara percuma kepada ahli kariah untuk memudahkan proses walimatulurus dijalankan jika individu tersebut tidak mampu untuk menempah daripada pihak luar. Jika dipinjamkan dengan ada kadar bayaran pun, perlulah berpada-pada dan bayarannya perlulah seminimum mungkin kepada ahli kariah. Cara ini mungkin akan menarik minat penduduk setempat untuk mendekati masjid atau surau.

Bagi Masjid MADAD pula, masjid tersebut bukan sahaja mendekatkan orang dewasa ke masjid, tetapi turut mengambil langkah yang baik apabila turut membina taman permainan dalam masjid dan taman tersebut menghubungkan dewan utama solat. Tindakan mereka menyebabkan kanak-kanak lebih suka pergi ke masjid kerana hak-hak kanak-kanak tadi disantuni dengan begitu baik.

Walau bagaimanapun, penggunaan wang derma orang ramai ini perlukan diiringi dengan pengurusan kewangan yang telus dan mantap. Pengurusan masjid perlulah melantik pekerja daripada individu yang berkaliber untuk mengurus kewangan. Imam atau pengerusi masjid perlu ada konsep yang dinyatakan di atas tadi − jangan simpan duit derma.

Masjid Al Busyra dan Masjid MADAD boleh dijadikan contoh kepada masjid atau surau lain untuk mengikuti jejak langkah mereka. Dua masjid ini juga mempunyai imam muda yang memandang jauh ke hadapan. Mereka cuba untuk mengubah persepsi masyarakat tentang peranan masjid yang bukan sahaja untuk beribadat kepada Allah, tetapi juga menjaga silaturahim sesama insan.

Tanyalah diri anda, semasa anda menderma di masjid atau surau, adakah anda mahu duit anda tersebut digunakan atau disimpan?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.