4 Ogos 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

 Maksudnya: “Qarun menjawab (dengan sombongnya) ‘Sesungguhnya aku diberikan harta kekayaan ini semata-mata kerana ilmu yang ada padaku.’ (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidaklah dia tahu bahawa Allah telah membinasakan umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan (ingatlah) orang yang berdosa itu (apabila mereka diseksa) tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka (kerana Allah sudah sedia mengetahuinya).”

(Surah al-Qasas 28:78)

Harta dan pangkat, malah segala kekuasaan, kekuatan dan kesempurnaan merupakan milik mutlak Allah SWT. Harta dan pangkat juga merupakan anugerah Allah SWT yang dipinjamkan kepada hamba-Nya untuk menguji keimanan mereka, adakah bersifat syukur atau sebaliknya. Kedua-duanya bersifat sementara, malah merupakan amanah yang akan dipersoalkan pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti.

Sesungguhnya harta dan pangkat boleh membawa kemuliaan atau kehinaan, tertakluk pada bagaimana harta dan pangkat tersebut digunakan semasa hidup. Al-Quran memaparkan kisah Firaun yang dianugerahkan pangkat mentadbir sebuah negara, manakala Qarun dikurniakan kekayaan yang luar biasa. Allah SWT memperkenalkan watak-watak tersebut untuk umat Islam mengambil iktibar, bagaimana Allah SWT mengakhirkan hayat mereka yang berperangai sombong, bongkak, takbur dan zalim. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya, Musa telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan (mukjizat) yang jelas dan nyata, lalu mereka bersikap sombong di bumi (dengan mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (daripada azab Allah).”

(Surah al-Ankabut 29:39)

Firaun diazab oleh Allah SWT kerana pangkat dan kuasa. Hal tersebut telah menjadikan Firaun bersifat bongkak, meninggi diri dan berlaku zalim. Firaun menyalahgunakan pangkat dan kuasa untuk kepentingan diri, melakukan kezaliman terhadap rakyat yang diamanahkan tanggungjawab memimpin kepadanya. Kesombongan Firaun sehingga sampai ke tahap mengakui dirinya Tuhan. Akhirnya Firaun dibinasakan dengan ditenggelamkan bersama-sama bala tentera di Laut Merah.

Qarun diazab oleh Allah SWT kerana harta kekayaan tidak menjadikan Qarun seorang yang bersyukur. Qarun dengan sombong mendakwa kekayaannya hasil daripada titik peluhnya, juga daripada ilmu yang dimilikinya. Qarun menunjuk-nunjuk kemewahannya di khalayak ramai dengan sifat bongkak dan riak. Qarun menjadi lupa diri dan lupa bahawa kekayaan Allah mengatasi segala-galanya. Akhirnya, Qarun diazab dengan dibenamkan bersama-sama rumah dan hartanya ke dalam bumi.

Qarun ditenggelamkan ke bumi bersama-sama harta kekayaannya kerana keangkuhan dan kesombongannya.

Umat Islam bertanggungjawab memastikan harta dan pangkat membawa kebahagiaan dunia dan kesejahteraan akhirat. Umat Islam tidak harus menjadikan harta dan pangkat sebagai matlamat mutlak hidup; sehingga bersedia melakukan apa-apa sahaja, termasuk melakukan perkara yang dimurkai Allah, menipu, mencuri, rasuah dan pecah amanah, akibat didorong oleh nafsu dan bisikan Iblis. Dalam usaha mengejar harta dan pangkat, umat Islam diingatkan supaya jangan sampai mengabaikan tujuan sebenar manusia diciptakan, iaitu untuk memenuhi kewajipan beribadat, serta memenuhi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah yang difardukan oleh Allah SWT. Umat Islam juga diingatkan agar menjadikan harta dan pangkat sekadar alat dan pemudah cara untuk mencapai tujuan sebenar kehidupan, iaitu meraih ketakwaan dan keredaan Allah SWT.

Pangkat meletakkan seseorang memiliki pengaruh yang membolehkannya berkuasa. Pangkat tidak boleh disalahgunakan, sebaliknya merupakan amanah untuk menyempurnakan tanggungjawab sebaik mungkin. Contohi amalan dan sifat Nabi Sulaiman a.s. yang dikurniai kerajaan yang besar; sehingga manusia, jin, haiwan dan angin turut berada di bawah penguasaannya. Sungguhpun begitu, baginda senantiasa insaf dan mengamalkan sifat seorang hamba Allah yang merendah diri dan bersyukur ke hadrat Ilahi.

Islam menuntut umatnya mencari kekayaan yang dapat membangunkan ekonomi ummah, membantu fakir miskin, serta menunaikan tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah. Kekayaan dan kekuatan ekonomi amat penting bagi kelangsungan hidup sesebuah negara. Umat Islam diseru menceburi serta menguasai bidang yang dapat mempertingkatkan kekayaan melalui perniagaan, pelaburan, pertanian, perdagangan, kesenian dan sebagainya, tetapi hendaklah dilakukan dengan niat yang betul dan kaedah yang mendapat keredaan Ilahi.

Islam tidak melarang umatnya untuk mencari pangkat dan kekayaan tetapi mestilah dengan niat yang betul dan mendapat keredaan Ilahi.

Sedarilah bahawa pintu keredaan dan keberkatan Ilahi akan tertutup jika harta dan pangkat menjerumuskan seseorang bersifat sombong, angkuh, bongkak dan takbur, sehingga melupakan Tuhan dan pembalasan pada hari kebangkitan. Insan yang ditutup pintu keredaan dan keberkatan Ilahi akan didorong nafsu haloba, bersifat semakin bakhil untuk membelanjakan hartanya bagi tujuan amal dan kebajikan. Mereka juga menjadi semakin tamak, tidak menghiraukan nasib dan kesusahan orang miskin, malah terus bernafsu untuk mendapatkan harta dan pangkat walaupun secara menipu, mencuri, melakukan rasuah dan pecah amanah. Sebaliknya, harta dan pangkat yang dilimpahi keredaan dan keberkatan Ilahi akan mendorong seseorang itu berusaha untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT, bersifat syukur dan bertambah pemurah, terutama untuk membantu orang miskin, orang yang berada dalam keuzuran dan anak-anak yatim. Merekalah orang yang dilimpahi kejayaan dunia dan insya-Allah kesejahteraan akhirat.

Oleh itu, beberapa saranan yang berikut perlu diberikan perhatian oleh umat Islam:

Pertama: Menginsafi bahawa harta dan pangkat merupakan anugerah dan ujian Ilahi, oleh itu hasrat untuk mendapatkan harta dan pangkat, serta cara harta dan pangkat digunakan, hendaklah melambangkan sifat seorang hamba yang bersyukur dan jauhi perbuatan yang menyebabkan kemurkaan Ilahi.

Kedua: Semaikan budaya berwakaf dan bersedekah dalam diri; mulakan amalan berwakaf dan bersedekah daripada rezeki kurniaan Ilahi, bermula dengan walau sekecil mana sekalipun, agar rezeki diberkati Allah dan akan ditambah.

Ketiga: Gunakan harta dan pangkat untuk menolong orang yang daif, uzur, miskin, anak-anak yatim; orang yang memerlukan rawatan perubatan, anak-anak yang memerlukan pembiayaan pendidikan,dan anak yatim yang mengharapkan ihsan.

Keempat: Harta jangan sama sekali menjadikan diri riak, berbelanja ke arah perkara yang bersifat membazir, sementara pangkat jangan disalahgunakan sehingga berlaku berbagai-bagai kezaliman, penindasan dan ketidakadilan.

Kelima: Penuhi rukun Islam yang menetapkan hukum berzakat. Zakat yang tidak ditunaikan merupakan hutang yang akan dituntut tanggungjawabnya pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar.

Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Hindari kami daripada menjadi orang yang lupa diri dan lupa kurniaan-Mu sehingga berlaku sombong, takbur, bongkak dan riak. Bimbing kami untuk mencari harta dengan cara yang halal dan membelanjakannya pada jalan yang mendapat keredaan-Mu. Berkatilah harta yang Engkau rezekikan agar dengannya kami menjadi orang yang bersyukur dan melakukan amal yang dapat mendekatkan diri dengan-Mu.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 4 Ogos 2023, bertajuk “Harta dan Pangkat Anugerah dan Ujian Ilahi”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.