21 April 2023, 20:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam keghairahan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, harus diingat bahawa Aidilfitri bukanlah perayaan yang merujuk amalan budaya dan adat sesuatu bangsa atau kaum, tetapi merupakan perayaan berbentuk ibadat yang disambut di seluruh dunia tanpa mengira bangsa.

Sewajarnya setiap daripada kita memahami erti sebenar sambutan Aidilfitri supaya perayaan ini dapat diraikan dengan penuh bermakna dan mendapat pahala. Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Sukki Othman menyatakan, sambutan berbentuk fizikal perlu seiring dengan konsep sambutan secara rohani bagi mendapat kegembiraan sebenar ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, sambutan Hari Raya Aidilfitri perlu diniatkan sebagai ibadat agar kita lebih berusaha menjaga tatasusila dalam meraikannya selari dengan syariat dan tuntutan Islam.

Pada kedua-dua hari perayaan dalam Islam, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, umat Islam dituntut untuk merayakan mengikut segala sunah Rasulullah SAW dengan bersederhana dalam berhari raya dan berharap agar segala ibadat yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT.

 

Amalan yang dituntut semasa sambutan Aidilfitri

(1) Bertakbir

Semasa sambutan Aidilfitri, kita diperintah menzahirkan kegembiraan dan kejayaan dengan cara membesarkan dan mengagungkan Allah SWT. Memperbanyak takbir merupakan antara cara yang boleh dilakukan semasa sambutan hari raya. Melaungkan takbir dengan bersungguh-sungguh dan penuh penghayatan sebagai tanda kesyukuran dan bukti kemenangan melawan hawa nafsu dan mendidik hati menjadi umat Islam yang bertakwa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud, “Hendaklah kamu mencukupkan bilangan (puasa Ramadan) itu dan bertakbirlah (mengagungkan Allah) kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

(2) Memakai pakaian yang terbaik

Pada hari raya Aidilfitri, umat Islam disunatkan untuk memakai pakaian terbaik yang mereka miliki. Imam Syafie dalam kitab al-Umm menyatakan, aku lebih menyukai seseorang yang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari Jumaat, dua hari raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dan tempat diadakan majlis seperti majlis perkahwinan. Dalam Islam, pakaian terbaik tidak semestinya pakaian yang baharu sepertimana kata-kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali, “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baharu, tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah SWT.”

(3) Makan sebelum menunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Sebelum keluar menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, umat Islam disunatkan untuk menjamah makanan. Menurut al-Muhallab dalam kitab bertajuk Fath al-Bari, hikmah menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri  adalah agar seseorang tidak berpendapat dia boleh berpuasa sehingga selesai Solat Sunat Aidilfitri dilaksanakan. Rasulullah SAW kebiasaannya menjamah beberapa biji kurma pada pagi Aidilfitri sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik yang bermaksud, “Nabi SAW tidak keluar pada pagi Hari Raya Aidilfitri sehinggalah Baginda menjamah beberapa biji kurma.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Disunatkan menjamah makanan sebelum menunaikan Solat Sunat Aidilfitri pada 1 Syawal.

(4) Menggunakan jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari masjid

Dalam memastikan sambutan perayaan Aidilfitri menjadi ibadat, umat Islam juga boleh mengamalkan sunah Rasulullah SAW dengan menggunakan jalan yang berbeza ketika hendak pergi dan balik dari masjid, sebagaimana hadis yang bermaksud, “Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Hal ini dikatakan demikian kerana perjalanan pergi dan balik menggunakan jalan yang berbeza memungkinkan kita untuk bertemu dengan orang yang berlainan dan memanjangkan lagi persaudaraan sesama umat Islam.

(5) Lafaz ucapan selamat

Masyarakat Malaysia acap kali menyambut Aidilfitri dengan melafazkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin”. Namun begitu, yang lebih baiknya adalah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW dengan mengucapkan “taqabbalullah minna wa minka” yang bermaksud “semoga Allah SWT menerima amalan kami dan amalanmu”.

(6) Menziarahi sesama Muslim

Amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka antara amalan yang dituntut dalam Islam semasa sambutan Aidilfitri. Hal ini dikatakan demikian kerana Islam amat menggalakkan umatnya berusaha untuk lebih mengeratkan silaturahim antara satu sama lain sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah SWT agar kamu beroleh rahmat.”

Tidak dinafikan masih ada unsur adat dalam sambutan Aidilfitri di negara kita. Walau bagaimanapun, tidak ada salahnya jika kita mengikut adat yang tidak melanggar syariat Islam. Namun begitu, lebih molek sekiranya kita mengikuti segala sunah dalam meraikan Aidilfitri kerana selain bergembira, kita juga beroleh pahala. Bukan itu sahaja, unsur ibadat dalam sambutan perayaan menjadikan sambutan Syawal lebih sempurna dan bermakna sebagai umat Islam.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.