17 Mei 2023, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Etika dalam Islam merujuk nilai akhlak atau prinsip moral yang berlandaskan al-Quran dan hadis. Selain itu, etika Islam ditakrifkan sebagai ilmu pengetahuan yang mengajarkan perkara baik dan buruk berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Dengan mempraktikkan etika sebagaimana yang digariskan oleh Islam, seseorang akan mendapat ganjaran pahala.

Media sosial pula ialah istilah kolektif untuk laman sesawang dan aplikasi yang memfokuskan komunikasi, input berasaskan komuniti, interaksi, perkongsian kandungan dan kerjasama. Kewujudan media sosial memudahkan perkongsian idea dan maklumat melalui rangkaian maya. Secara umum, media sosial digunakan untuk kekal berhubung dan berinteraksi dengan rakan, keluarga dan pelbagai komuniti. Peniaga juga menggunakan aplikasi sosial ini untuk memasarkan dan mempromosikan produk perniagaan mereka.

Selaras dengan perkembangan teknologi digital yang semakin pesat, penggunaan media sosial menjadi perkara yang tidak dapat dielakkan oleh masyarakat global. Dalam keadaan tersebut, timbul pula isu-isu berkaitan dengan etika penggunaan media sosial. Justeru itu, pengguna media sosial perlu mengetahui, memahami dan mempraktikkan etika agar platform tersebut tidak menjadi wadah yang mencetuskan konflik dan seterusnya boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Islam menggariskan panduan dalam penggunaan media sosial pada masa ini.

Pengguna media sosial yang beretika perlu berinteraksi dengan kesopanan dan kesusilaan. Tiada perbezaan antara komunikasi dalam media sosial dengan komunikasi dalam kehidupan di luar alam maya. Jika di dunia nyata pun perlu menjaga adab berbicara, begitu juga ketika menggunakan media sosial untuk berkomunikasi. Hal ini sepertimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “… dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik … .” (Surah al-Baqarah 2:83). Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran).” (Surah al-Isra’ 17:53).

Selain itu, pengguna media sosial yang beretika perlu menghormati privasi pengguna yang lain. Antaranya termasuklah dengan tidak berkongsi gambar atau sebarang maklumat peribadi individu lain tanpa keizinannya. Pengguna juga perlu melindungi data peribadinya. Jangan sekali-kali memberikan maklumat peribadi yang sensitif melalui media sosial seperti nombor telefon, nombor akaun bank, nombor kad pengenalan dan alamat rumah. Banyak kes yang dilaporkan berkaitan dengan kecuaian pengguna media sosial sendiri yang berkongsi maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali.

Pengguna yang beretika juga tidak menjadikan media sosial sebagai platform penyebaran fitnah atau berita palsu. Sebagai pengguna yang bertanggungjawab, sangat penting untuk memeriksa kebenaran sebarang maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya atau berkongsi dengan sesiapa pun. Sewajarnya media sosial menjadi wadah untuk menyebarkan perkara yang benar agar tidak menimbulkan sebarang provokasi dan kegusaran awam. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara).” (Surah al-Ahzab 33:70).

Pengguna media sosial juga tidak wajar melakukan sebarang penghinaan, cemuhan atau makian terhadap mana-mana individu, komuniti, etnik, budaya dan agama. Hal ini diungkapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud,

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.

(Surah al-Hujurat 49:11)

Buli siber ialah tindakan pencerobohan atau gangguan menggunakan teknologi. Buli ini dilakukan melalui teks, sembang, e-mel, aplikasi media sosial dan permainan dalam talian. Buli sering diulang dengan tujuan untuk menakut-nakutkan, menimbulkan kemarahan dan memalukan mangsa. Buli siber kian berleluasa di media sosial kerana pembuli itu tidak perlu berasa gentar dengan pengguna media sosial yang lain disebabkan identiti mereka tidak diketahui dan sukar dikesan kerana ada yang menggunakan akaun media sosial palsu. Maka itu, media sosial tidak seharusnya menjadi medan untuk membuli pengguna yang lain.

Pengguna yang beretika juga sama sekali tidak akan berkongsi kandungan yang tidak bermanfaat seperti gambar atau video yang mengandungi unsur keganasan, rasisme, pornografi dan budaya songsang. Media sosial sewajarnya menjadi wadah bagi memupuk persefahaman, mengukuhkan perpaduan dan penyebaran ilmu. Allah SWT amat menekankan agar umat manusia menjauhi perkara yang tidak membawa apa-apa manfaat dalam kehidupan mereka seperti firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun 23:3).

Berhati-hati dengan sebarang bentuk penipuan di media sosial.

Jika seseorang menggunakan media sosial untuk berniaga, pastikan produk dan jenis perniagaan yang dilakukan sah di sisi agama dan undang-undang. Kepelbagaian perniagaan dalam media sosial bak cendawan tumbuh selepas hujan yang menawarkan harga murah atau diskaun dan penghantaran percuma telah memukau pembeli sehinggakan banyak yang tertipu. Penjual yang terlibat dengan kes penipuan pembelian secara dalam talian menggunakan pelbagai platform seperti Facebook, Instagram, Michat, Wechat, Shopee, mudah.com, Carousell dan Lazada. Sebagai peniaga yang juga pengguna media sosial yang beretika tidak akan menyalahgunakan platform tersebut untuk mengaut keuntungan dengan menyalahi undang-undang.

Teknologi komunikasi dan media sosial pada dasarnya sangat bermanfaat dan bertujuan untuk memudahkan urusan manusia. Jika digunakan dengan niat yang betul, maka hal yang demikian akan memberikan manfaat dan kesejahteraan hidup. Namun begitu, sekiranya media sosial disalahgunakan, maka perkara tersebut akan membawa kepada perkara yang sia-sia dan merugikan. Oleh sebab itu, setiap pengguna media sosial khususnya yang beragama Islam perlu menjaga etika berlandaskan panduan agama. Keadaan aman, selesa dan rasa selamat akan hadir dalam kalangan pengguna media sosial jika etika benar-benar dipraktikkan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.