12 April 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menjadikan (sekalian makhluk). Dia menjadikan manusia daripada segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmu jualah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-‘Alaq :1-5)

Menurut Kamus Dewan Perdana, ilmu bermaksud pengetahuan atau kepandaian tentang hal yang berkaitan dengan dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu juga merujuk kajian atau pengetahuan tentang sesuatu perkara dalam pelbagai bidang. Cendekiawan dan ahli falsafah Islam tersohor, Syed Muhammad Naquib Al-Attas mentakrifkan ilmu sebagai perkara yang memberikan makna dan manfaat kepada penerimanya, bersumberkan maklumat yang tepat dan benar.

Ayat 30 Surah al-Baqarah mengisahkan firman Allah SWT kepada malaikat yang hendak menjadikan seorang khalifah di bumi, iaitu Nabi Adam a.s. Melalui ayat 31 Surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Allah telah mengajar Adam segala nama benda dan kegunaannya.” Ayat tersebut menceritakan bahawa Allah SWT telah mencipta Nabi Adam a.s. dan mengajarkan ilmu kepada baginda. Hal ini membuktikan tentang pentingnya ilmu untuk membantu manusia memenuhi peranan seorang khalifah di bumi.

Ilmu berperanan penting sebagai asas untuk membina tamadun. Oleh itu, untuk memenuhi peranan sebagai khalifah di bumi, manusia wajib menguasai ilmu. Tradisi menguasai ilmu bermula daripada Nabi Adam a.s dan diteruskan oleh para rasul hinggalah Nabi Muhammad SAW. Berasaskan kebenaran ilmu, Rasulullah SAW berjaya mendidik dan melahirkan para sahabat yang berkeperibadian mulia. Rasulullah SAW menggalakkan umat Baginda menuntut ilmu berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

Maksudnya: “Menuntut ilmu menjadi kewajipan bagi setiap Muslim.”

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Masyarakat yang bertamadun terbina melalui penguasaan dan ketinggian ilmu.

Usaha menuntut ilmu mestilah bertapak dan didasari oleh keimanan kepada Allah yang Maha Esa, dengan mendalami ilmu berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak. Untuk memenuhi amanah Allah sebagai khalifah di bumi, kita dituntut untuk melengkapi diri, mempelajari dan menguasai pelbagai bidang ilmu, merangkumi bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik, kesihatan, perundangan dan ketenteraan agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dengan lebih sempurna, dalam usaha menyejahterakan kehidupan umat Islam dan memakmurkan kehidupan insan.

Masyarakat yang bertamadun terbina melalui penguasaan dan ketinggian ilmu. Tanpa ilmu pengetahuan, seseorang insan, sesuatu bangsa dan sesebuah negara akan tercicir, terpinggir, mundur dan ketinggalan. Ilmu memacu peribadi seseorang sehingga terbentuknya sahsiah mulia dan terbinanya masyarakat yang maju lagi berjaya.

Ilmu membina kebijaksanaan, lantas meningkatkan tahap kecekapan, melebarkan pandangan dan meluaskan wawasan manusia. Ilmu berperanan membentuk peribadi manusia yang seimbang, membolehkan manusia berupaya menilai dan mengukur baik dan buruk sesuatu perkara berasaskan fakta dan pengetahuan, lalu mengupayakan manusia mengambil keputusan dan tindakan bukan secara rambang, tetapi secara bijak, waras dan tepat.

Ilmu merupakan asas pembentukan adab dan sahsiah terpuji. Manusia yang hidupnya tidak berpegang dan tidak bersandarkan ilmu akan berada dalam kebingungan, melayari lautan kehidupan bagaikan tiada arah haluan yang jelas, malah dibimbangkan akan tenggelam dan melakukan perkara yang bercanggah dengan adab dan sopan, rosak rohaninya, bergelora emosinya, bersifat riak, berkelakuan bongkak, berlaku zalim, kehilangan akhlak, dan tergelincir akidah sehingga menafikan keimanan kepada Allah SWT.

Ilmu juga wajib dikongsi dan disampaikan kepada orang lain berpandukan hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sampaikanlah (ilmu) daripadaku meskipun hanya satu ayat.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Perkongsian ilmu daripada pelbagai pihak boleh dilaksanakan melalui majlis ilmu serta perbincangan yang dilangsungkan dalam semangat berlapang dada, sedia menghormati dan mengiktiraf kemahiran orang lain. Umat Islam dilarang untuk membicarakan perkara di luar pengetahuannya kerana dibimbangkan akan menambah kekeliruan dan salah faham pihak yang mendengar, selaras dengan ungkapan nasihat ahli hikmah:

Maksudnya: “Orang yang tidak memiliki (ilmu) tidak mampu memberikan (kefahaman).”

Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada guru di sekolah untuk membimbing anak-anak menjadi insan berilmu.

Oleh hal yang demikian, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap perkara yang berikut:

Pertama: Umat Islam wajib mempelajari, memahami dan menguasai ilmu, dalam pembentukan sahsiah diri dan dalam usaha untuk membina tamadun; serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan oleh Ilahi sebagai khalifah di bumi, sekali gus menyempurnakan pelbagai tugas fardu kifayah.

Kedua: Ilmu yang benar akan membuka dan memudahkan perjalanan menuju ke syurga berlandaskan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan al-Tirmidzi:

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”

Ketiga: Ilmu akan membantu manusia berupaya menilai sesuatu perkara berasaskan akal dan bukan dipengaruhi oleh emosi atau nafsu. Hal ini membolehkan manusia mengenali dan membezakan antara kaca dengan permata, antara yang palsu dengan yang tulen, dan antara fitnah dengan kebenaran.

Keempat: Insan berilmu akan bertutur dalam bahasa yang tertib dan sopan, tanpa perlu meninggikan suara atau memekik, tidak mencerca, tidak menghina, jauh sekali daripada memfitnah insan lain. Insan berilmu bersifat merendah diri, mengikut resmi padi yang semakin berisi semakin tunduk.

Kelima: Menekankan kepentingan ilmu kepada anak-anak. Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada guru di sekolah untuk membimbing anak-anak menjadi insan berilmu. Didik dan bimbing anak-anak sejak mereka masih dalam kandungan, ketika masih dalam buaian, kemudiannya ketika menempuhi alam persekolahan dengan suasana dan budaya kehidupan yang mengutamakan ilmu dan menghargai insan berilmu.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 April 2024, bertajuk “Ilmu: Asas Pembentukan Sahsiah”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.