18 Mei 2023, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemimpin agama Kristian perlulah ikhlas dalam isu penggunaan kalimah Allah. Mereka bebas menggunakan istilah tuhan sebagai terjemahan kepada God untuk menikmati hak kebebasan beragama mereka. Ibadat mereka masih sah tanpa menggunakan kalimah Allah kerana kalimah yang Maha Suci itu tidak eksklusif bagi nama tuhan mereka.

Sebaliknya, orang Islam berpegang bahawa Allah itu Maha Esa yang tidak mempunyai anak dan diperanakkan. Tindakan mensyirikkan Allah merupakan perbuatan menghina Tuhan yang disembah oleh orang Islam, yang dianggap paling keji dan terlarang dalam ajaran Islam.

Maka itu, adakah sesuatu yang boleh diiktiraf sebagai hak perlembagaan (constitutional right) untuk menggunakan nama khas bagi Tuhan yang diimani oleh orang Islam, bagi maksud agama selain Islam dengan takrifan yang menghina agama sekali gus orang Islam juga?

Kalimah Allah bukanlah terjemahan bahasa Melayu bagi God, sebaliknya kalimah Arab yang merujuk nama khas Tuhan dalam ajaran Islam. Tegasnya, Allah ialah kalimah agama, bukanlah nama umum bagi tuhan dalam bahasa Melayu.

Jika penganut agama selain Islam ingin menggunakan bahasa Melayu dalam ibadat mereka, terjemahan perkataan God ialah tuhan. Islam dan penganut agama Islam tidak menghalang hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka boleh mengamalkan agama mereka secara aman selagi tidak mengganggu kedamaian dalam Persekutuan.

Isu penggunaan kalimah Allah seharusnya diselesaikan melalui perbincangan yang baik. (Gambar hiasan)

Sekiranya penyelesaian seperti di atas tidak boleh diterima, maka kaedah terbaik untuk menguruskan isu sensitif tersebut ialah dialog antara tokoh agama Islam dengan tokoh agama Kristian. Dialog tersebut bolehlah memberikan tumpuan khusus kepada sifat Allah SWT yang diimani oleh orang Islam dengan Tuhan yang termaktub dalam kitab Injil. Dialog tersebut perlu dilaksanakan secara harmoni dengan tujuan untuk memberikan pencerahan kepada penganut agama masing-masing tentang Tuhan yang disifatkan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, atau bible yang diakui sahih oleh penganut agama Kristian.

Hasil daripada dialog tersebut, bolehlah dijadikan sebagai pertimbangan kepada sebarang polisi hubungan antara penganut agama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang peribadi orang Islam.

Pihak pimpinan agama Kristian khususnya yang menuntut penggunaan kalimah Allah dalam ajaran mereka harus bersifat terbuka untuk menyahut saranan ini, dan tidak mengenakan syarat untuk menafikan kehadiran mana-mana pakar perbandingan agama dalam dialog yang dimaksudkan.


Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.