Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBerdasarkan tinjauan ilmiah, jelas bahawa tidak ada satu pun agama yang membenarkan mahupun mengizinkan penganutnya mengamalkan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender atau lebih dikenali dengan istilah golongan LGBT. Isu berkaitan dengan golongan LGBT di negara kita juga bukanlah satu isu yang baharu. Namun begitu, golongan ini kini kelihatan semakin berani memunculkan diri, bahkan cuba untuk mendapatkan pengiktirafan hak serta penerimaan umum dalam sistem sosiobudaya masyarakat.
Pendirian Islam jelas mengharamkan perbuatan mahupun amalan kehidupan songsang yang bertentangan dengan hukum fitrah manusia. Buktinya disebut dalam kitab suci al-Quran melalui kisah kemurkaan Allah SWT terhadap kaum Nabi Lut a.s. kerana perlakuan amalan songsang homoseksual. Ketahuilah bahawa setiap perkara halal dan haram yang telah ditetapkan dalam hukum Islam tidak perlu dipersoalkan mahupun dibahaskan lagi kerana yang pastinya, perkara tersebut jelas mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam kehidupan seharian kita.
Daripada Ibn Abbas r.a. berkata bahawa,
Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai perempuan dan golongan perempuan yang menyerupai lelaki.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Secara teorinya, tujuan manusia diciptakan secara berpasangan antara lelaki dengan perempuan adalah untuk mengelakkan berlakunya perbuatan songsang jantina. Apatah lagi manusia dikurniakan kelebihan akal berbanding dengan makhluk lain. Namun begitu, tidak dinafikan perbuatan songsang ini tetap juga berlaku dalam kalangan manusia kerana akal tidak lagi berpandukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Malah, haiwan yang diciptakan secara berpasangan jantan dan betina juga tidak melakukan perbuatan songsang seperti yang dilakukan oleh manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud,
Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dalam kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa-apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang yang bersalah) bahkan kamu termasuk kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!
(Surah al-Syu‘ara’ 26:165-166)
Oleh itu, ibu bapa sewajarnya cakna dan waspada dengan pengaruh golongan LGBT terhadap pemikiran anak-anak. Mereka seharusnya memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Sekiranya tidak mampu memberikan didikan agama, mereka perlu berusaha mencari alternatif untuk memenuhi keperluan tersebut bagi anak-anak. Tidak dinafikan bahawa didikan agama yang secukupnya juga tidak memadai sekiranya tanpa pengamalan dalam kehidupan harian anak-anak. Oleh sebab itu, peranan dan bimbingan ibu bapa di rumah sangat penting untuk memupuk pengamalan nilai keagamaan dalam kehidupan seharian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengambil peduli berkaitan dengan pergaulan anak-anak dengan rakan-rakan terutamanya rakan media sosial yang lebih dewasa. Tidak dinafikan bahawa pergaulan dan perhubungan anak-anak yang tidak terkawal juga boleh menjadi faktor tersebarnya pengaruh LGBT. Hal ini diperkukuh lagi dengan sikap anak-anak yang suka mencuba dan meneroka sesuatu perkara baharu yang seharusnya sentiasa dipantau dan diambil peduli agar mereka tidak terjebak dengan perkara yang tidak baik.
Pada masa yang sama, ibu bapa seharusnya sentiasa mendekatkan diri dengan anak-anak meskipun terlalu sibuk dengan kerja seharian. Sekurang-kurangnya anak-anak mengetahui bahawa ibu bapa sentiasa dekat dan memerhatikan gerak-geri seharian mereka. Antara punca anak-anak terlibat dengan golongan LGBT termasuklah ibu bapa tidak meluangkan masa bersama anak-anak sehingga mereka mencari rakan di luar sebagai teman berbual, meluahkan perasaan dan berkongsi kehidupan. Oleh sebab itu, ibu bapa sepatutnya sentiasa meluangkan masa bersama dengan anak-anak agar pemikiran dan emosi mereka sentiasa berada pada landasan yang benar.
Walau bagaimanapun, institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi membentuk kemenjadian murid yang berlandaskan nilai keagamaan yang tinggi dalam diri. Contohnya, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Kesihatan pada peringkat sekolah rendah dengan berpandukan Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran perlu diperkasakan secara optimum agar dapat menyelesaikan masalah kecelaruan jantina dalam kalangan murid. Tambahan pula, menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk jati diri murid yang berpengetahuan di samping sahsiah diri yang baik dalam kehidupan seharian.
Selain itu, pihak institusi pendidikan juga sewajarnya menganjurkan program agama terutamanya ke arah pencegahan pengaruh LGBT kerana peranan institusi pendidikan tidak hanya terhad memberikan ilmu pengetahuan. Sebaliknya, mereka juga berperanan membentuk sahsiah dan nilai keagamaan dalam diri pelajar agar dapat diseimbangkan antara aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial (JERIs) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Demikian maksud kemenjadian murid, iaitu keseimbangan pengetahuan, kemahiran dan pengamalan nilai yang baik dalam kehidupan harian pelajar dan berdaya tahan.
Seterusnya, masyarakat juga seharusnya memainkan peranan penting dalam usaha menyekat pengaruh LGBT. Mereka perlu bersedia dan bersikap terbuka untuk membantu golongan LGBT kembali kepada fitrah. Pada hakikatnya, masyarakat perlu mengakui bahawa tidak semua yang terlibat dengan LGBT melakukannya dengan rela hati. Ada antara golongan ini yang sebenarnya terperangkap kerana rakan, dan ada pula yang masih mengalami masalah kecelaruan jantina yang kritikal. Pada masa yang sama, tidak ada satu pihak pun yang cuba untuk membantu mereka hatta keluarga sendiri agar mereka kembali kepada fitrah.
Terdapat tiga golongan masyarakat apabila berbicara berkaitan dengan LGBT, iaitu mereka yang tidak bersedia untuk membantu golongan LGBT, mereka yang berkecuali dan enggan membantu golongan LGBT, dan mereka yang langsung tidak membantu malah terus menyebarkan fitnah terhadap golongan LGBT. Realitinya, tidak dinafikan adanya segelintir golongan LGBT yang bersedia kembali kepada fitrah, namun mereka tidak diterima oleh masyarakat, bahkan terus dicaci dan difitnah sedangkan mereka telah berubah sepenuhnya.
Kesimpulannya, sebagai masyarakat MADANI yang prihatin dan cakna akan masalah sosial terutamanya berkaitan dengan LGBT, kita sewajarnya mengambil peduli dan berusaha membantu pihak kerajaan memikirkan jalan penyelesaian dan alternatif terbaik bagi membantu golongan LGBT agar mereka dapat kembali kepada fitrah. Pada waktu yang sama, mereka perlu dibantu agar tidak mengulangi lagi kesilapan lampau dan perbuatan dosa yang pernah mereka lakukan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara. Maka itu, sebagai Muslim yang mengaku bersaudara tidak sepatutnya kita membiarkan dan mengabaikan golongan LGBT terus tersesat dengan perbuatan keji dan dosa yang mereka lakukan seumur hidup.
Ayuh kita bantu golongan ini keluar dan kembali kepada fitrah asal mereka agar pengakhiran kehidupan mereka adalah pengakhiran yang baik.