Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs bagi tahun 2024/2025 yang berlangsung di Auditorium KUIPs, Kuala Perlis.

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menuntut komitmen setiap Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs agar sentiasa menjunjung Titah Tujuh Amanat Raja Perlis.

Amanat tersebut menekankan pelbagai aspek berkaitan dengan kemajuan Islam dan pemikiran rakyat dalam usaha mendaulatkan agama Islam dengan berpegang teguh pada ajarannya yang sahih demi memacu hala tuju universiti.

Baginda bertitah, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti merupakan suatu keperluan yang bertujuan agar Lembaga ini dapat memberikan sumbangan idea, pengalaman dan kepakaran dalam memperkasakan dan memajukan pengurusan KUIPs dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Hal ini seterusnya menentukan hala tuju strategik universiti agar pengurusan universiti bertindak dengan lebih dinamik, progresif dan telus tanpa sebarang agenda lain.

Tuanku Syed Faizuddin Putra percaya bahawa dengan pelantikan ini juga, KUIPs dapat mencapai visi dan misi untuk menjadi institusi akademik berteraskan Islam terkemuka di peringkat antarabangsa yang menawarkan gabungan program pengajian Islam tradisional dan kontemporari, di samping melahirkan teknokrat Muslim yang memacu pembangunan dan pemodenan negara.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs bagi tahun 2024/2025 yang berlangsung di Auditorium KUIPs, Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor KUIPs, Profesor Dr. Mohamad Rozaimi Ramle berserta barisan kepimpinan kolej universiti yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Canselor KUIPs menzahirkan harapan agar semua Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti dapat bersatu hati dan menjalankan tanggungjawab untuk mencapai objektif dan sasaran penubuhan KUIPs berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mssing-masing yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs kepada Pengerusi Lembaga Pengarah, Sahibus Samahah Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan enam orang Ahli Lembaga Pengarah yang lain.

Sebanyak 10 orang Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs turut dilantik yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.