25 Januari 2024, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan bahawa pihaknya mengagihkan kuota tertentu kepada pihak swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH).

Dalam satu kenyataan hari ini, TH mengingatkan orang awam agar tidak menyebarkan berita palsu atau belum dipastikan kesahihannya yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat.

“Seperti yang dimaklumkan dan diketahui umum, kuota haji berjumlah 31 600 yang telah diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah mengikut sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan’ yang dilaksanakan sejak tahun 1995,” jelas TH.

Tambahnya, apabila bakal jemaah sudah terpilih dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih sama ada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (muassasah) atau melalui syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH.

Menurut TH, bakal haji yang memilih syarikat PJH terdiri daripada golongan yang berkemampuan untuk membayar lebih dari segi kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik daripada muassasah.

Jelas TH, syarikat PJH pula membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di tanah suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan oleh pihak Arab Saudi.

“Dakwaan bahawa TH hanya mengendalikan 11 000 jemaah pada tahun ini tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus adalah melalui muassasah,” katanya.

TH menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita palsu yang tular di media sosial dan bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk merujuk kepada platform media sosial rasmi TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih, tepat dan terkini.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh berhubung Tabung Haji Contact Centre (THCC) melalui talian 03-6207 1919.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.