Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia pada tahun ini akan bermula pada 18 April 2026. Didoakan semoga para jemaah yang terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini dikurniakan haji mabrur; tiada balasan lain bagi haji yang mabrur melainkan syurga.
Ibadah haji ialah rukun Islam kelima yang diwajibkan kepada setiap Muslim untuk dikerjakan sekali seumur hidup apabila sempurna syarat-syarat wajibnya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu (bagi) orang yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali ‘Imran 3:97).
Sesungguhnya, fadilat ibadah haji amat luar biasa. Seseorang yang berjaya menyempurnakan pelaksanaan ibadah ini semata-mata kerana Allah SWT akan diampunkan segala dosanya. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang melaksanakan ibadah haji semata-mata kerana Allah dan dia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan, maka dia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa).” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1521 dan Muslim, no. 1350).
Bersyukurlah sekiranya seseorang termasuk dalam kalangan ummah yang terpilih untuk mengerjakan rukun haji pada tahun ini. Mereka sebenarnya ialah tetamu yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk sampai ke Baitullah, bagi mengerjakan rukun Islam yang kelima. Bagi yang belum terpilih, teruskan berdoa dengan azam dan kesungguhan, memohon ihsan Ilahi agar disenaraikan sebagai tetamu Allah SWT pada masa terdekat.
Amalan menyimpan dan menabung untuk menunaikan haji, di samping mempelajari, mengikuti ceramah dan menghadiri kursus haji, membuktikan kesungguhan azam dan niat seseorang yang mahu menunaikan ibadah haji. Kisah jemaah haji terdahulu yang menabung sedikit demi sedikit sehingga memakan masa puluhan tahun sebelum memiliki wang yang cukup untuk mengerjakan ibadah haji, amat menginsafkan dan sewajibnya dijadikan teladan.
Berkaitan dengan pelaksanaan ibadah haji, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh semua umat Islam, antaranya termasuklah:
Pertama: Satu daripada syarat wajib haji ialah kemampuan atau istitaah sama ada bersifat kewangan, keselamatan, kesihatan ataupun kuota haji. Menabung untuk mencukupkan dana bagi menunaikan haji amat digalakkan, bermula dengan membuka akaun simpanan haji, menetapkan sasaran simpanan secara bulanan biarpun sedikit tetapi berterusan, melalui potongan gaji bulanan atau melalui perancangan pendapatan dan perbelanjaan secara bijak. Ibu bapa dianjurkan mendidik anak-anak dengan merintis usaha membuka akaun simpanan atau menabung untuk tujuan haji sejak mereka kecil lagi, atau sebaik-baik mereka dilahirkan. Setiap ringgit yang disimpan dengan niat mengerjakan haji membuktikan azam dan kesungguhan kita, dan merupakan ibadah yang dilimpahi keberkatan. Pada hakikatnya, ibadah haji mendidik ummah untuk berfikir tentang masa hadapan.
Kedua: Ibadah haji tidak sepatutnya dijadikan ibadah yang diniatkan untuk dikerjakan setelah mencecah usia tua kerana ibadah haji melibatkan tindakan bermusafir, perjalanan yang jauh, pelaksanaan rukun-rukun haji yang memerlukan banyak pergerakan jasmani yang mencabar seperti tawaf, sai, melontar jamrah, berwuquf, serta bermalam di Muzalifah dan di Mina. Oleh itu, ibadah haji sebaik-baiknya dikerjakan ketika usia masih muda, iaitu ketika tubuh badan masih sihat, kuat dan cergas.
Ketiga: Kuota haji turut termasuk dalam syarat wajib haji di bawah pengertian kemampuan atau istitaah. Oleh itu, ummah dinasihatkan agar segera mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji sebaik-baiknya pada usia muda, ketika masih dalam usia kanak-kanak, malah sebaik-baik sahaja bayi dilahirkan agar nama mereka akan terpilih untuk mengerjakan haji pada usia yang muda.
Keempat: Ibadah haji sarat dengan nilai perpaduan, pengorbanan, kesabaran, kesyukuran, muhasabah diri, persamaan sesama manusia, penyucian jiwa, tunduk dan patuh kepada Ilahi, keinsafan dan keikhlasan.
Kelima: Persiapan ilmu pengetahuan sangat penting untuk seseorang meraih haji yang mabrur. Ummah disarankan sentiasa membaca, mempelajari dan mengikuti kuliah atau perkongsian pengalaman berkaitan dengan ibadah haji. Kefahaman yang betul tentang syarat sah haji, rukun dan wajib haji, larangan dalam ihram, jenis haji, doa dan zikir akan menatijahkan haji yang mabrur. Bagi umat Islam yang berkemampuan tetapi belum tiba giliran terpilih mengerjakan haji, mereka dianjurkan menunaikan umrah terlebih dahulu kerana umrah memberikan pendedahan amali yang terbaik untuk menghayati rukun ketika mengerjakan haji.
Keenam: Kesihatan yang baik merupakan antara syarat penting dalam pemilihan jemaah haji. Jemaah haji perlu melepasi tapisan kesihatan yang ditetapkan bagi melayakkan mereka ditawarkan tempat untuk mengerjakan haji.
Ketujuh: Berdoa dengan penuh azam agar kita terpilih menjadi tetamu Allah SWT. Berniat, dan berusaha bersungguh-sungguh mahu mengerjakan ibadah haji walaupun kewangan belum mencukupi.
Kelapan: Kerajaan Arab Saudi telah memberikan pengiktirafan tertinggi kepada pengurusan Lembaga Tabung Haji sebagai pengurusan haji terbaik di dunia. Malaysia diiktiraf kerana jemaah haji berjaya mengamalkan penjagaan kebersihan dan disiplin yang tinggi serta sistem disiplin dan pengurusan yang terbaik. Oleh itu, para jemaah haji diingatkan agar menjaga adab dan akhlak, bersabar dan berdisiplin, saling membantu sesama jemaah, serta menjaga kebersihan dan ketertiban semasa mengerjakan ibadah haji.
Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 17 April 2026, bertajuk “Rukun Haji: Keazaman dan Kesungguhan”.