28 Jun 2023, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibadat haji merupakan satu daripada Rukun Islam. Fardu haji ini hanya diwajibkan sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan. Semua amal ibadat yang disyariatkan oleh Allah SWT pasti mengandungi pelbagai kemaslahatan untuk manusia dan pada masa yang sama dapat menghindari mereka daripada sebarang kemudaratan. Begitu juga dengan ibadat haji yang mengandungi pelbagai maqasid atau objektif di sebalik pensyariatan ibadat tersebut.

Falsafah utama ibadat haji adalah mengesakan Allah SWT dan melakukannya dengan penuh keikhlasan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud, “Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah.” Sifat mazmumah seperti riyak dan sum’ah mudah terzahir daripada ibadat haji jika jemaah tidak berusaha bersungguh-sungguh melawan nafsu, justeru mereka perlu memastikan ibadat haji yang ditunaikan benar-benar ikhlas kerana Allah SWT.

Selain itu, pengukuhan kepada tauhid terserlah menerusi ucapan talbiah yang disebut oleh jemaah haji yang menegaskan bahawa tiada syirik bagi-Nya. Ucapan talbiah ini diulang-ulang sebut oleh semua jemaah sama ada lelaki dan perempuan bermula selepas mereka berniat ihram haji.

Pensyariatan ibadat haji membentuk disiplin diri yang tinggi dalam kalangan umat Islam.

Objektif pelaksanaan ibadat haji juga dapat dilihat berdasarkan pakaian ihram yang dipakai oleh jemaah haji. Pakaian ihram ini membuktikan kepatuhan dan ketundukan kepada Allah SWT ketika menjalani kehidupan seharian. Walaupun pada hakikatnya mereka mampu menyarungkan pakaian yang mahal dengan pelbagai fesyen, namun disebabkan ketetapan hukum maka mereka melakukannya tanpa sebarang rungutan.

Islam juga tidak membezakan manusia berdasarkan status sosial seseorang. Mereka sama sahaja di sisi Allah SWT dan kemuliaan seseorang bukan berdasarkan pangkat dan kekayaan. Lelaki kaya yang berihram tetap memakai kain yang tidak bersarung dan berjahit serta kasut yang tidak menutup tumit dan menampakkan jari-jari kaki.

Persaudaraan Islam yang merentasi warna kulit, bangsa dan bahasa terserlah semasa musim haji. Umat Islam dari seluruh dunia datang ke Makkah untuk bersama-sama menunaikan ibadat haji dan menunaikan solat fardu berjemaah di Masjidilharam. Perbezaan mazhab fiqah tidak menjadi masalah untuk mereka mengikut imam yang sama. Akidah yang satu telah mengikat persaudaraan antara umat Islam.

Pembentukan masyarakat madani, iaitu masyarakat yang yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan juga akan terbina apabila falsafah ibadat haji dihayati oleh semua jemaah. Haji mabrur akan tercapai apabila jemaah menghindari diri daripada perkataan kotor, keji-mengeji dan berdebat. Sepanjang berada di tanah suci, mereka dilatih bersikap mulia seperti bertolak ansur dengan rakan sebilik dan menolong jemaah lain yang dalam kesusahan. Kegagalan mengawal emosi akan membawa kepada pergaduhan dan pertengkaran sesama mereka. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menyifatkan ibadat haji merupakan jihad sebagai jawapan kepada persoalan Sayidatina Aisyah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud, “Bagi kamu sebaik-baik jihad itulah haji mabrur.”

Disiplin diri pula dapat dipupuk menerusi larangan semasa berihram. Jemaah haji akan sedaya upaya menahan diri daripada melakukan larangan dalam ihram dan mereka perlu membayar dam apabila melanggar larangan tertentu. Rukun dan kemuncak haji, iaitu berwukuf mempunyai waktu tertentu, iaitu selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah hingga terbit fajar pada 10 Zulhijah. Begitu juga dengan amalan wajib haji seperti mabit di Mudzalifah dan Mina yang mempunyai waktu dan lokasi tertentu. Ketelitian daripada jemaah haji sangat penting kerana setiap amalan ini mesti dilakukan di tempat dan masa yang telah ditetapkan agar semua ibadat tersebut sah.

Persiapan untuk menunaikan ibadat haji mengingatkan umat Islam akan persediaan dan bekalan untuk menghadapi hari akhirat.

Jemaah yang akan bertolak ke tanah suci akan membuat persiapan rapi seperti pakaian, keperluan peribadi dan ubat-ubatan. Perkara ini mengingatkan kita akan persediaan dan bekalan untuk menghadapi hari akhirat. Jika musafir yang hanya dalam lingkungan 45 hari pun perlu menyediakan bekalan, maka permusafiran ke alam akhirat lebih utama dan persediaan yang lebih rapi perlu dilakukan. Oleh sebab itu, Allah SWT mengingatkan khususnya kepada jemaah haji bahawa sebaik-baik bekalan ialah ketakwaan kepada Allah SWT. Bekalan ini sangat mustahak agar mereka tidak menghadapi kesulitan pada hari akhirat sekali gus terselamat daripada azab yang pedih. Tanda ketakwaan kepada Allah SWT dapat dilihat dengan cara mereka mengagungkan syiar Allah SWT. Manasik haji seperti tawaf, sai, wukuf, bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar di jamrah merupakan syiar Allah SWT.

Selain itu, tidak menjadi kesalahan kepada jemaah haji untuk melibatkan diri dengan urusan keduniaan semasa mengerjakan haji. Mereka boleh menjalankan perniagaan dengan syarat tidak mengganggu kerja-kerja haji. Hal ini berdasarkan tafsiran yang diberikan oleh Mujahid pada perkataan “kurniaan” dalam Surah al-Baqarah ayat 198 yang merujuk urusan perniagaan pada musim haji. Sehubungan dengan itu, tafsiran ini membuktikan Islam menitikberatkan keseimbangan antara kejayaan di dunia dengan akhirat. Umat Islam bukan sekadar dituntut berusaha mencapai kejayaan di akhirat, namun mereka juga diingatkan agar tidak melupakan habuan daripada kehidupan di dunia.

Oleh itu, pembentukan insan madani yang mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat akan terlahir menerusi pelaksanaan ibadat haji. Hal ini dikatakan demikian kerana ibadat haji menuntut pengorbanan yang tinggi, iaitu pengorbanan harta benda, masa dan tenaga demi meraih keredaan Allah SWT. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi sesiapa yang mendapat haji mabrur sepertimana sabda Baginda yang bermaksud, “Dan haji mabrur itu tiada baginya balasan melainkan syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.