Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPihak Berkuasa Arab Saudi sering memuji jemaah Malaysia sebagai antara jemaah yang paling mudah diurus. Jemaah negara lain melihat Malaysia sebagai contoh kejayaan integrasi antara kemodenan sistem institusi pengurusan haji dengan keluhuran peribadi rakyatnya.
Saban tahun, apabila jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia berkumpul di tanah suci, iaitu Makkah dan Madinah, terdapat satu kelompok yang sering kali menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa. Mereka bukanlah diplomat berpangkat tinggi, mahupun selebriti media sosial dengan jutaan pengikut, tetapi mereka ialah jemaah haji Malaysia.
Di sebalik pakaian jubah dan ihram, tersirat kekuatan soft power (kuasa lunak) yang luar biasa. Tanpa perlu berucap di podium antarabangsa, jemaah Malaysia telah berjaya membina reputasi negara sebagai model Islam yang mempunyai nilai kasih sayang melalui akhlak dan budaya yang mengagumkan.
Di tengah-tengah kesesakan jutaan manusia di tanah suci, jemaah Malaysia terkenal dengan sifat ketertiban. Sikap sabar seolah-olah sudah sebati dengan diri mereka. Hal ini disebabkan jemaah haji Malaysia jarang memotong barisan, mencetuskan kekacauan atau melanggar zon larangan.
Jemaah kita dididik untuk bergerak dalam kumpulan terancang. Kepatuhan kepada jadual melontar jamrah, waktu bertolak ke Arafah dan giliran ziarah bukan sekadar mengikut arahan muassasah, tetapi atas dasar tanggungjawab agama demi menjaga maslahat awam.
Penekanan disiplin jemaah Malaysia bukan sekadar satu pemerhatian luaran, malah hasil daripada keadaan sosial yang meletakkan Malaysia dalam kelas tersendiri di mata dunia. Dalam konteks ini, disiplin tersebut diterjemahkan sebagai satu bentuk patriotisme spiritual.
Gabungan nilai murni dalam budaya Melayu rakyat Malaysia yang mementingkan kesantunan dengan ajaran Islam yang menekankan disiplin diri membuahkan perlakuan akhlak mulia. Tatkala sikap jemaah Malaysia yang mendapat pujian, beratur lurus di hadapan pintu masuk Masjidilharam dan menjaga kebersihan di kawasan perkhemahan Mina, mereka pada hakikatnya sedang mempamerkan sebuah jenama negara yang baik dan. Keadaan ini mencerminkan tahap sivik yang tinggi serta secara tidak langsung menterjemahkan inti pati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kesucian itu sebahagian daripada iman … .” (Hadis riwayat Muslim, no. 223).
Hal yang lebih membanggakan apabila Kempen Kebersihan Masya’ir yang bermula sejak tahun 2017 telah mendapat pujian daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Taufiq Fawzan al-Rabiah. Beliau pernah berkata, “Jika semua jemaah di dunia seperti jemaah Malaysia, saya boleh tidur dengan tenang”.
Kejuruteraan Sosial: Tabung Haji sebagai Arkitek Disiplin
Kehebatan karakter jemaah Malaysia tidak datang secara kebetulan, tetapi hasil kejuruteraan sosial yang teliti menerusi usaha daripada Lembaga Tabung Haji (TH). Kursus haji yang dijalankan di tanah air bukan sekadar mengajarkan rukun dan wajib haji, malah turut mengambil perhatian dari aspek disiplin, kepatuhan dan kenegaraan.
Jemaah sentiasa diingatkan bahawa setiap daripada mereka membawa maruah negara di tanah suci dan apa-apa tindakan yang diambil mencerminkan imej Malaysia. Hal ini dikenali sebagai diplomasi rakyat yang merujuk individu bertindak sebagai duta kecil yang mempamerkan kematangan sebuah negara berdaulat.
Sebelum menjejakkan kaki ke tanah suci, jemaah turut didedahkan dengan undang-undang negara Arab Saudi. Mereka diajar untuk menghormati kedaulatan tuan rumah. Kepatuhan ini mengurangkan risiko diplomatik dan memudahkan urusan konsuler antara negara.
Melalui kewujudan ketua unit, ketua bilik dan penyelia maktab, sistem pengurusan jemaah Malaysia memiliki struktur organisasi yang sangat efisien, sekali gus mewujudkan satu rantaian arahan (chain of command) yang jelas, serta membolehkan maklumat kecemasan atau perubahan jadual disampaikan dengan pantas tanpa menimbulkan kesulitan.
Satu jurang yang membezakan jemaah Malaysia dengan jemaah negara lain ialah kepatuhan berasaskan kefahaman dan ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan. Jemaah Malaysia perlu mengikut fatwa yang telah diselaraskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH–JAKIM) untuk mengelakkan perdebatan sia-sia atau tindakan ekstrem di lapangan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Antaranya termasuklah tidak menghalang laluan, khususnya bersolat di laluan utama, dan tidak berebut-rebut ketika mencium hajarulaswad, seterusnya menunjukkan kesedaran tinggi jemaah Malaysia tentang hak orang lain dalam ruang awam yang terhad.
Impak Reputasi Global Malaysia
Mengapakah budaya yang positif sebegini penting dalam konteks global? Dalam dunia pada hari ini yang kerap melihat Islam melalui lensa konflik, kehadiran jemaah Malaysia yang tenang, celik teknologi dan mematuhi undang-undang memberikan naratif alternatif yang sangat positif.
Pihak Berkuasa Arab Saudi sering memuji jemaah Malaysia sebagai antara jemaah yang paling mudah diurus. Jemaah negara lain melihat Malaysia sebagai contoh kejayaan integrasi antara kemodenan sistem institusi pengurusan haji dengan keluhuran peribadi rakyatnya.
Bagi rakyat Malaysia, sudah pasti ibadah haji bukan sekadar perjalanan ritual, tetapi manifestasi intelektualisme budaya. Kesantunan yang dipamerkan bukan tanda kelemahan, sebaliknya tanda kekuatan jiwa yang terkawal.
Apabila seorang jemaah Malaysia membantu jemaah berusia dari negara lain dan memberikan senyuman ketika berhimpit dalam kesesakan, mereka sedang menulis surat cinta dari Malaysia pada dunia. Mereka merupakan duta senyap yang membuktikan bahawa kehebatan sesebuah negara tidak hanya terletak pada pencakar langitnya, tetapi pada adab dan pekerti rakyatnya.
Disiplin ini memberikan impak yang sangat jelas terhadap kedudukan Malaysia di persada antarabangsa seperti:
Disiplin jemaah Malaysia di tanah suci memperlihatkan bahawa karakter sesebuah bangsa merupakan aset diplomatik yang berharga. Perkara ini bukan sekadar takut pada undang-undang, tetapi rasa bangga membawa nama negara ke persada dunia. Kepatuhan jemaah menjadi cerminan kestabilan sistem pendidikan dan sosial di Malaysia yang berjaya membentuk insan yang menghormati ketertiban global.
Pada tahun ini, kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia akan mengunjungi Baitullah bagi melengkapkan rukun Islam yang kelima. Kita berharap agar setiap duta kecil ini sentiasa dikurniakan kesihatan yang terbaik, mampu menunaikan ibadah haji dengan sempurna, serta mempamerkan kualiti akhlak dan budaya Malaysia yang sentiasa membanggakan negara.
Penulis merupakan ketua penyelidik di Ansori Global Datalab.