Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perkara yang paling utama setelah menunaikan haji adalah dengan menjaga nikmat, memperbaharu taubat, memperkukuh takwa, memperelok akhlak, memperbanyak istighfar dan terus istiqamah dalam ketaatan.

Tatkala para jemaah haji mula pulang ke tanah air, mereka kembali bukan sekadar tubuh yang melalui perjalanan jauh, tetapi hati yang pernah berada di bumi Arafah, lidah yang pernah bertalbiah, tangan yang pernah menadah doa, dan jiwa yang pernah disapa oleh rasa kehambaan yang dalam. Haji bukan hanya tentang kenangan di tanah suci, bahkan amanah rohani yang dibawa pulang ke dalam kehidupan harian.

Terdapat beberapa persoalan yang wajar direnung oleh setiap Muslim selepas menunaikan haji. Apakah yang berlaku selepas manasik selesai? Adakah kesan haji terhenti ketika seseorang meninggalkan Makkah, atau sebenarnya bermula perjalanan baharu menuju ketaatan yang lebih jernih? Pertanyaan ini penting kerana ibadah dalam Islam mengandungi hikmah besar yang menguatkan iman, menyucikan jiwa, membetulkan tingkah laku dan memperelok akhlak.

Haji turut berada dalam kerangka yang sama. Apabila ibadah ini dilakukan dengan penghayatan, pelaksanaannya mampu menjadi madrasah yang mendidik manusia mengenal Allah SWT, menyedari kelemahan diri dan memahami bahawa kemuliaan sebenar terletak pada ketundukan kepada-Nya. Namun begitu, jika haji tidak meninggalkan kesan pada hati, ucapan dan perbuatan, ibadah ini hanya sekadar pengalaman luaran dan tidak membentuk kehidupan.

Nikmat yang Menuntut Syukur

Hal pertama yang perlu hidup dalam diri orang yang pulang daripada haji ialah kesedaran terhadap nikmat Allah SWT. Tidak semua orang diberikan kemampuan, kesempatan dan taufik untuk sampai ke Baitullah. Banyak yang mengharapkannya, tetapi masih terhalang oleh pelbagai sebab. Oleh itu, sesiapa yang dimuliakan dengan ibadah ini sepatutnya pulang dengan hati yang tunduk, bukan dengan rasa bangga.

Syukur selepas haji tidak memadai dengan ucapan. Syukur yang sebenar bermula daripada hati yang mengakui bahawa segala nikmat datang daripada Allah SWT, kemudian diterjemahkan melalui anggota badan yang semakin taat. Apabila seseorang mensyukuri ibadah hajinya, dia memelihara nikmat itu daripada disia-siakan. Dia menjaga solat, menjauhi perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT, memperbaik hubungan sesama manusia dan berusaha mengekalkan kebaikan.

Syukur digambarkan sebagai kehidupan bagi nikmat, manakala zikir menjadi kehidupan bagi hati. Dia tidak hanya mengenang tawaf, sai atau wuquf sebagai memori, tetapi menjadikannya dorongan untuk menjadi hamba yang lebih hampir kepada Allah SWT.

Haji sebagai Lembaran Baharu

Haji sering dikaitkan dengan kelahiran semula bagi jiwa yang bersih daripada dosa. (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1521). Selepas seseorang melalui pengalaman taubat, munajat, air mata dan pengharapan, dia seolah-olah menerima lembaran hidup yang putih. Walaupun begitu, lembaran ini perlu dijaga. Alangkah ruginya jika seseorang membina kebaikan dengan susah payah, kemudian dia sendiri mengotorkannya setelah pulang.

Perumpamaan wanita yang merungkai semula benang yang telah dipintal dengan kuat dalam ayat 92 Surah al-Nahl memberikan gambaran yang sangat halus. Hal tersebut mengingatkan manusia agar tidak memusnahkan amalan yang telah diusahakan. Seorang Muslim tidak sepatutnya menjadikan musim ibadah sebagai ruang sementara untuk menjadi baik, kemudian kembali kepada kelalaian apabila musim itu berakhir. Haji bukan persinggahan singkat untuk meringankan dosa, tetapi titik perubahan untuk memperbaik arah hidup.

Oleh itu, orang yang pulang daripada haji perlu bertanya kepada dirinya. Adakah hatiku telah berubah? Adakah akhlakku semakin baik? Adakah ucapanku lebih terjaga? Adakah hubunganku dengan keluarga, jiran dan masyarakat lebih lembut dan benar? Pertanyaan sebegini menjadikan haji terus hidup sebagai muhasabah diri.

Istiqamah: Tanda Haji yang Mabrur

Tanda paling jelas bagi haji yang mabrur ialah istiqamah. Seseorang tidak hanya dinilai ketika dia berada dalam suasana ibadah yang besar, tetapi juga setelah dia kembali kepada rutin kehidupan. Kesan ibadah haji mula diuji apabila berada di rumah, di tempat kerja, dalam urusan keluarga, semasa berinteraksi dan berhadapan dengan ujian.

Al-Hasan al-Basri (w. 110H) menyebut bahawa tanda haji yang mabrur ialah seseorang kembali dalam keadaan zuhud kepada dunia dan lebih mencintai akhirat. Ungkapan ini bukan bermakna seseorang meninggalkan tanggungjawab hidup, tetapi hati tidak lagi dikuasai oleh dunia yang melupakan akhirat. Dia tetap bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat, tetapi dipandu oleh kesedaran bahawa hidup merupakan perjalanan menuju kepada Allah SWT.

Istiqamah bukan bermaksud tidak pernah lemah. Manusia tetap mempunyai kekurangan. Hal yang dituntut ialah usaha mendekati kesempurnaan dengan sedaya upaya. Apabila tersilap, dia segera kembali; apabila lalai, dia beristighfar; apabila lemah, dia memohon pertolongan Allah SWT. Jalan ini mengingatkan bahawa penerimaan amal lebih penting daripada rasa puas hati terhadap amal itu sendiri.

Takwa dan Akhlak Setelah Manasik

Roh bagi seluruh manasik haji ialah takwa. Haji mendidik seseorang menahan diri daripada perkataan buruk, pertengkaran, kekasaran dan perbuatan yang mencemarkan ibadah. Larangan ketika ihram menjadi latihan seseorang hamba agar menjaga batas Allah SWT sepanjang hayat. Jika seseorang mampu menahan dirinya sepanjang tempoh haji kerana memuliakan syiar, maka selepas pulang dia seharusnya lebih berhati-hati terhadap dosa yang nyata.

Kesan haji sepatutnya terlihat pada akhlak. Alangkah indahnya apabila seorang jemaah pulang dengan layanan yang lebih baik kepada keluarga, sikap yang lebih santun kepada jiran, hati yang lebih bersih kepada sahabat, dan tutur kata yang lebih terpelihara. Haji yang benar menanggalkan pakaian kesombongan, kebanggaan diri dan kekasaran budi.

Haji juga digambarkan sebagai “relau” yang memurnikan hati, membakar kekotoran maksiat dan meninggalkan inti keimanan yang bersih. Seseorang yang selesai menunaikan haji sepatutnya membawa pulang kejernihan batin yang mempengaruhi cara memandang manusia dan kehidupan.

Takut dan Harap dalam Penerimaan Amal

Satu lagi renungan besar selepas haji ialah persoalan penerimaan amal. Tidak dinafikan perbuatan melaksanakan ibadah merupakan suatu kenikmatan, tetapi penerimaan Allah SWT terhadapnya merupakan nikmat yang lebih besar. Oleh itu, seorang hamba tidak sepatutnya pulang dengan rasa aman yang melalaikan, seolah-olah segala amalnya pasti diterima. Dia juga tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

Seorang mukmin perlu mengimbangi antara takut dengan harap. Dia berharap agar hajinya diterima, dosanya diampunkan dan usahanya dihargai oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, dia tetap merendah diri, memperbanyak istighfar dan tidak berbangga dengan amal sebagai adab seseorang hamba selepas melakukan ketaatan.

Oleh sebab itu, selepas Arafah dan Muzdalifah, para jemaah diperintahkan agar memohon keampunan kepada Allah SWT. Ibadah yang agung pun ditutup dengan istighfar. Semakin besar amal seseorang, semakin besar keperluannya kepada kerendahan hati. Kejayaan yang sebenar adalah pada hati yang semakin takut kepada Allah SWT dan semakin berharap kepada rahmat-Nya.

Pulang dengan Janji yang Diperbaharu

Haji mengandungi makna janji. Talbiah yang diucapkan berkali-kali ialah tanda menyahut seruan-Nya. Apabila seseorang pulang ke tanah air, seruan itu tidak tamat. Dia perlu terus menyahut perintah Allah SWT dalam kehidupannya tanpa pilihan, dan tidak kembali kepada kebiasaan lama yang merosakkan.

Manasik melontar jamrah mengingatkan tentang perjuangan melawan bisikan jahat; sai antara Safa dengan Marwah pula mengajarkan usaha, keyakinan dan tawakal; serta pemakaian ihram mendidik tentang kesederhanaan, kesamarataan dan hakikat manusia akan kembali kepada Allah SWT. Semua manasik ini tidak sewajarnya ditinggalkan sebagai simbol yang terpisah daripada kehidupan, sebaliknya perlu dibawa pulang sebagai pedoman akhlak dan cara berfikir.

Tuntasnya, haji bukan penamat bagi perjalanan seseorang Muslim melengkapkan segala rukun Islam, tetapi sebuah permulaan yang lebih berat selepas ini. Perkara yang paling utama setelah menunaikan haji adalah dengan menjaga nikmat, memperbaharu taubat, memperkukuh takwa, memperelok akhlak, memperbanyak istighfar dan terus istiqamah dalam ketaatan. Amalan yang sedikit, tetapi berterusan lebih berharga daripada semangat besar yang cepat padam.

Berbahagialah orang yang kembali dengan hati yang lebih lembut, lidah yang lebih terpelihara, akhlak yang lebih indah dan jiwa yang lebih dekat kepada Allah SWT. Haji terus berbicara dalam kehidupan meskipun manasiknya telah selesai. Semoga Allah SWT menjadikan haji jemaah tahun ini sebagai haji yang mabrur, dosa mereka yang diampunkan, dan usaha mereka yang diterima. Semoga Dia mengurniakan kepada kita semua keteguhan, serta istiqamah sehingga akhir hayat.


Penulis merupakan penulis dan editor yang banyak menyumbang dalam penerbitan karya mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri seperti Ensiklopedia Solat Sunat, Biografi Imam 4 Mazhab, Warkah buat Pengantin, serta Tafsir al-Bayan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi