Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIbadah haji merupakan satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Namun demikian, hakikatnya haji tidak sekadar terbatas sebagai suatu ritual yang bersifat zahir. Lebih daripada itu, ibadah ini merupakan sebuah madrasah kehidupan yang sarat dengan dimensi tarbiah, pembinaan diri dan pembangunan insan secara menyeluruh.
Dalam tempoh yang singkat tetapi padat, seorang jemaah haji melalui pengalaman yang membentuk keperibadian, memperhalus akhlak serta mengubah cara berfikir. Setiap rukun dan amalan yang dilaksanakan bukan sahaja menuntut kepatuhan terhadap perintah syarak, bahkan mengandungi nilai pendidikan yang membina kesabaran, disiplin dan berjiwa hamba kepada Allah SWT.
Ibadah haji umpama latihan intensif yang menghimpunkan manusia daripada pelbagai latar belakang, budaya, bahasa dan tingkah laku. Dalam himpunan ini, kepelbagaian sifat manusia terserlah; ada yang sabar dan lembut, dan tidak kurang juga yang mudah dipengaruhi oleh emosi, gemar berdebat atau cenderung kepada sikap mementingkan diri.
Dalam suasana sedemikian, perubahan diri tidak akan berlaku secara serta-merta tanpa dorongan dalaman serta disiplin yang kukuh. Oleh itu, pensyariatan haji hadir dengan garis panduan yang tersusun dan jelas bagi mengawal tingkah laku manusia daripada kecenderungan negatif kepada penghayatan nilai yang lebih positif, selaras dengan tuntutan akhlak Islam.
Al-Quran menegaskan prinsip asas yang menjadi teras pembentukan akhlak dalam ibadah haji melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
Masa untuk mengerjakan haji ialah beberapa bulan yang diketahui. Sesiapa yang telah berihram untuk mengerjakan haji pada bulan-bulan itu, maka tidak dibenarkan baginya untuk menyetubuhi isteri (al-rafath), membuat maksiat (al-fusuq) dan bertengkar (al-jidal) dalam tempoh mengerjakan haji. Apa-apa sahaja amalan baik yang kamu lakukan, Allah mengetahui tentangnya. Dan hendaklah kamu mempersiapkan bekalan daripada makanan dan minuman secukupnya agar kamu tidak meminta-minta daripada orang lain, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik bekalan ialah bekalan takwa, maka bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.
(Surah al-Baqarah 2:197).
Ayat ini merupakan antara nas yang menghimpunkan makna yang luas ketika menjelaskan kesan ibadah haji terhadap pembentukan tingkah laku manusia.
Namun demikian, ayat ini bukan sekadar berbentuk larangan semata-mata, bahkan mengandungi kerangka pendidikan akhlak yang mendalam. Penegasan terhadap larangan tersebut secara tidak langsung menuntut agar seseorang memelihara lisannya, serta menghiasinya dengan ucapan yang baik, beradab dan membina. Keadaan ini menggambarkan suatu proses peralihan daripada bentuk komunikasi yang negatif kepada komunikasi yang lebih positif, sejajar dengan matlamat tarbiah dalam ibadah haji.
Penegasan larangan ini menunjukkan bahawa ibadah haji tidak hanya tertumpu pada aspek perlaksanaan fizikal semata-mata, bahkan turut menjadi medan latihan pengawalan diri daripada kecenderungan melanggar syariat. Hal ini menuntut kesedaran yang berterusan agar setiap tindakan berada dalam lingkungan ketaatan kepada Allah SWT.
Al-Baidawi menegaskan bahawa dorongan al-Quran terhadap kebaikan yang datang selepas larangan tersebut merupakan suatu isyarat pendidikan yang halus agar manusia tidak sekadar meninggalkan keburukan, bahkan segera menggantikannya dengan amalan kebaikan. Kebaikan bukan sahaja menjadi pengganti keburukan yang ditinggalkan, tetapi dihidupkan sebagai amalan yang berterusan dalam kehidupan.
Menariknya, para ulama turut menyingkap dimensi psikologi yang tersirat dalam ayat ini. Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa manusia memiliki empat kekuatan utama, iaitu kekuatan syahwat yang bersifat kebinatangan, kemarahan yang bersifat buas, waham yang bersifat kesyaitanan dan akal yang bersifat kemalaikatan. Menurut beliau, larangan dalam ibadah haji bertujuan untuk mengawal tiga kekuatan pertama yang sering menjadi punca keburukan.
Larangan rafath mengawal dorongan syahwat, larangan fusuq mengekang sifat marah dan kecenderungan melampaui batas, serta larangan jidal mengawal sikap gemar berdebat secara sia-sia yang berpunca daripada dorongan waham dan bisikan syaitan. Kesemua tegahan ini pada akhirnya membuka ruang penguasaan akal dan pengukuhan kesedaran rohani dalam diri manusia, sekali gus memperlihatkan bahawa ibadah haji merupakan latihan yang menyentuh akar keperibadian manusia. Melaluinya, jiwa dididik menjadi lebih seimbang, terkawal serta berorientasikan nilai murni selaras dengan tuntutan syariat.
Sehubungan dengan itu, perubahan daripada sikap negatif kepada sikap yang positif dalam ibadah haji merupakan suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan. Ketika pelaksanaannya, jemaah haji perlu melatih diri untuk bersabar dan menahan emosi, di samping berinteraksi secara harmoni dengan orang lain agar ibadah yang dilaksanakan tidak terjejas. Dalam konteks ini, haji sebagai suatu proses pembangunan diri yang bersifat praktikal, dan turut membawa kesan yang besar terhadap pembangunan insan dari pelbagai sudut, antaranya termasuklah:
Ibadah haji menghimpunkan manusia dalam suasana yang seragam dari segi pakaian, tempat dan masa. Setiap jemaah mengenakan pakaian ihram yang sama tanpa mengira status sosial, bangsa atau kedudukan. Keadaan ini menanamkan nilai kesamarataan dalam diri, seterusnya mengikis rasa superioriti dan memupuk kesedaran bahawa manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan ketakwaan yang membezakannya.
Ibadah haji menghimpunkan umat Islam dari seluruh dunia, membuka ruang interaksi antara pelbagai latar budaya dan cara hidup. Dalam suasana ini, jemaah belajar untuk memahami, menghormati serta menyesuaikan diri dengan kepelbagaian yang wujud, lantas membangunkan keupayaan hidup bersama secara harmoni. Hasil daripada interaksi tersebut, tidak sedikit jemaah yang menjalin persahabatan yang bermakna dan berkekalan sepanjang hayat.
Aktiviti haji yang melibatkan pelbagai pergerakan fizikal seperti berjalan kaki dan tawaf menyumbang kepada kecergasan tubuh. Keadaan ini selari dengan pepatah Arab “al-‘aql al-salim fi al-jism al-salim” yang bermaksud akal yang sihat lahir daripada tubuh yang sihat. Kesihatan fizikal yang terpelihara turut memberikan kesan positif kepada kestabilan emosi dan kecergasan mental.
Ibadah haji merupakan suatu kewajipan berskala besar yang dilaksanakan secara kolektif dan menuntut pengurusan yang tersusun. Setiap kumpulan jemaah mempunyai ketua dan dibantu oleh struktur pentadbiran khusus bagi memastikan kelancaran perjalanan ibadah. Peranan kepimpinan sedemikian telah mengatur, membimbing jemaah, selain memupuk nilai disiplin serta semangat kerjasama. Secara tidak langsung, pengalaman tersebut menjadi medan latihan yang membina kefahaman dan keyakinan terhadap kepentingan kepimpinan sebagai unsur penting dalam pembangunan insan.
Hakikatnya, perbincangan kesan ibadah haji dalam pembangunan insan merupakan bidang yang luas dan memerlukan penelitian yang lebih menyeluruh. Ternyata ibadah haji memainkan peranan yang besar untuk membina masyarakat yang seimbang, berakhlak dan berdaya saing.
Oleh itu, dalam konteks semasa, kefahaman ibadah haji perlu dilihat dari perspektif yang selari dengan tuntutan zaman, tetapi tetap berpegang teguh pada prinsip agama. Hal ini demikian kerana pelaksanaannya sentiasa mendidik manusia agar menjadi individu yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, serta mengangkat nilai kemanusiaan dan keamanan sejagat.
Nurul Naimah Hishamsul Anuar merupakan Pensyarah di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Tengku Ibrahim Helmi Tengku Mohammad merupakan Ketua Penyelidik di Maktabah al-Bakri.